SHAH ALAM, 23 MEI: Asrama pekerja berpusat bakal dibina di Kapar, Meru dan Telok Gong yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun bagi menyelesaikan isu penginapan pekerja.
Timbalan datuk bandar Klang berkata terdapat 213 permohonan kebenaran merancang bagi pembinaan penginapan pekerja jangka pendek (TLQ) dan 10 asrama pekerja berpusat (CLQ) yang mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Hasrat MBDK adalah melihat majikan dan pekilang bersama-sama bertanggungjawab menyediakan kemudahan penginapan pekerja yang selesa dan lengkap dengan kemudahan kepada pekerja serta mematuhi peraturan dan garis panduan.
“Perancangan dan penyediaan asrama pekerja berpusat yang serba lengkap dengan kemudahan disediakan mengikut garis panduan selain meningkat dan mempromosi budaya kerja industri yang kondusif dan berdaya,” kata Mohd Zary Affendi Mohd Arif hari ini.
Berucap pada sesi ‘Teach In’ TLQ dan CLQ, Mohd Zary Affendi berkata dengan adanya penempatan berkenaan, tiada lagi penginapan pekerja sementara di bangunan kedai pejabat dan kilang teres.
“Tindakan penguatkuasaan akan di ambil ke atas setiap penginapan pekerja sementara yang masih beroperasi di kedai pejabat dan kilang sedia ada. Majikan perlu memindahkan pekerja ke asrama pekerja berpusat.
“Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi semua penginapan pekerja sementara tanpa kelulusan dan tindakan berterusan akan dibuat sehingga semua asrama pekerja berpusat siap dibina,” katanya.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini