Majlis Perasmian Program Citra Warisan di Jambatan Kota berlangsung meriah |
Klang: Majlis Perasmian Program Citra Warisan @ Jambatan Kota di sini berjalan lancar dan meriah. Program yang padat dengan pelbagai pengisian, aktiviti dan pameran itu secara tidak langsung merancangkan lagi ekonomi masyarakat setempat. Orang Besar Daerah Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam ucapannya berkata Jambatan Kota Lama yang kini dikenali dengan Jambatan Kota mempunyai nilai sejarah dan seni binanya yang unik menjadikan lokasi ini cukup istimewa. Menurut beliau, ia adalah ikon yang mencerminkan warisan serta identiti Klang, sekali gus menjadikan penganjuran Program Citra Warisan begitu bermakna. "Jambatan ini kekal sebagai simbol identiti, perpaduan dan warisan yang membanggakan sekali gus menjadikan penganjuran program ini cukup bermakna. "Program Citra Warisan di Jambatan Kota ini merupakan kesinambungan daripada Pelancaran Pencahayaan Jambatan Kota sempena Program Gagasan Rumpun Selangor pada Ogos tahun lalu," katanya. Tambahnya, ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi membawa mesej penting dalam mengangkat keindahan dan kekayaan warisan daerah ini. "Dengan adanya pameran kereta klasik, persembahan seni budaya serta jualan makanan tradisional, ia menjadi platform memperkenalkan sejarah, budaya dan identiti tempatan kepada generasi kini dan akan datang. "Saya berharap penganjuran program ini akan terus menjadi pemangkin dalam memupuk semangat cintakan budaya, memperkukuhkan perpaduan serta memperkenalkan keunikan daerah ini," katanya pada majlis pelancaran program itu. |
![]() |
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj, serta disertai barisan kepimpinan antaranya Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Zary Affendi Mohd Arif; Pegawai Daerah Klang, Ketua-ketua Agensi Kerajaan, Ahli-ahli Majlis serta Ketua Jabatan dalaman MBDK. Program Citra Warisan @ Jambatan Kota anjuran MBDK itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk sekitar Lembah Klang dan pelancong antarabangsa. Jambatan Kota adalah jambatan dua tingkat yang pertama dibina di Persekutuan Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Malah satu-satunya jambatan dua tingkat dua fungsi berbeza yang ada di negara ini. Mula dibina Jun 1957 merentasi Sungai Klang dengan kos RM 7 juta ketika itu adalah antara jambatan bersejarah di Malaysia kerana dibina sebelum tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Bahagian atasnya dibina khas untuk laluan kenderaan berat seperti bas, lori dan kereta manakala di bahagian bawah ialah untuk basikal, beca dan orang berjalan kaki. Jambatan Kota dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 24 Jun 1959, mengambil nama bersempena dengan kedudukannya bersebelahan dengan Istana Bukit Kota yang terletak dalam Kota Raja Mahadi, mempunyai nilai sejarah, warisan seni binanya yang unik dan pelbagai kisah misteri menjadikan lokasi ini cukup Istimewa dan juga menjadikan jambatan ini kekal sebagai simbol identiti, perpaduan dan warisan yang membanggakan. |
Sumber:
