KLANG, 17 MEI: Klang dipilih sebagai lokasi pertama pelancaran Program Arkib Komuniti, selaras dengan statusnya sebagai pusat sejarah yang kaya dengan warisan budaya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program ini adalah inisiatif penting bagi mengumpul, mendokumentasi dan memelihara sejarah tempatan. 

Klang perintis program dokumentasi sejarah, jadi rujukan generasi baharu

 

“Sejarah Klang itu adalah amat bernilai bagi kita dan sebab itu kita mula lancarkan program ini di Klang.

“Kita berharap dengan program ini kita dapat pergi ke lapangan untuk mengumpul sejarah-sejarah artifak yang ada di sini,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.

Klang perintis program dokumentasi sejarah, jadi rujukan generasi baharu

Aaron Ago menambah inisiatif berkenaan adalah antara usaha berterusan memastikan sejarah yang berharga tidak hilang dan terus diingati generasi akan datang.

“Usaha ini dijalankan supaya kita dapat bersama-sama dengan masyarakat mengumpul sejarah dan artifak yang tidak terkumpul, kalau tidak, ia akan hilang mungkin banyak yang sudah hilang seperti generasi dulu.

“Dengan maklumat kita kumpulkan, simpan di dalam Arkib Negara, ia boleh menjadi rujukan pelajar-pelajar untuk mengetahui sejarah-sejarah di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, program di bawah Arkib Negara ini tidak hanya tertumpu kepada kajian lapangan tetapi turut mendorong penyertaan aktif masyarakat.

“Orang ramai, termasuk individu dan keluarga, digalakkan menyumbang bahan-bahan seperti cerita keluarga atau pohon salasilah kepada Arkib Negara,” tambahnya.

Selain itu, Aaron Ago memaklumkan Arkib Negara kini sedang melaksanakan transformasi untuk memastikan bahan-bahan sejarah dapat diakses secara digital melalui peruntukan besar yang telah disalurkan.

“Pelancaran di Klang hanyalah permulaan. Program Arkib Komuniti akan diperluaskan ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, yang turut menyimpan khazanah sejarah unik.

Klang perintis program dokumentasi sejarah, jadi rujukan generasi baharu

“Sebagai contoh, adat dan tradisi masyarakat Iban di Sarawak perlu didokumentasikan sebelum ia hilang ditelan masa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain menyifatkan pemilihan Klang sebagai lokasi pertama adalah tepat kerana bandar ini menyimpan sejarah yang luar biasa, termasuk kewujudannya yang dianggarkan lebih daripada 4,000 tahun.

“Saya berasa sangat bangga dan berterima kasih atas pemilihan ini, pada masa sama, kita telah menyimpan pelbagai sejarah yang masih ada.

“Kami menggalakkan penglibatan semua pihak dan berharap program ini memberikan kebaikan kepada komuniti, seterusnya menyimpan satu khazanah negara secara baik, teratur dan boleh diakses oleh masyarakat ataupun generasi akan datang,” katanya.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini