KLANG - Tiada lagi lori muatan berat melalui laluan utama Taman Bukit Jati, Kampung Jawa di sini selepas pihak kontraktor bersetuju menghentikan pergerakan kenderaan ke tapak projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berdekatan.

Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Rayme Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi taklimat ringkas bersama kontraktor yang memberi jaminan berkenaan.

Kontraktor setuju henti kenderaan berat masuk Taman Bukit Jati

“Mereka bersetuju kerja pembinaan dihentikan sementara dan hanya akan menggunakan bahan binaan sedia ada di tapak.

“Pengangkutan bahan seterusnya akan menggunakan laluan rel sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kontraktor setuju henti kenderaan berat masuk Taman Bukit Jati

Beliau berkata, pihak pemaju akur untuk tidak lagi menggunakan jalan taman perumahan itu sebagai laluan logistik.

“Pihak Majlis (MBDK) juga akan mengadakan perbincangan khas bersama penduduk untuk mempercepatkan proses pampasan atau apa juga bentuk penyelesaian berkaitan projek ini kerana ia juga memberi manfaat kepada rakyat.

“Namun dalam masa yang sama, kita tidak mahu penduduk terus dibebani dengan gangguan lori berat yang keluar masuk tanpa henti,” katanya.

Sinar Harian pada 1 Mei lalu melaporkan kira-kira 210 keluarga di Taman Bukit Jati, Kampung Jawa di sini meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keselesaan mereka selepas laluan perumahan di kawasan itu digunakan sebagai jalan utama lori muatan berat, dipercayai terlibat dalam projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berdekatan.

Seorang penduduk, Badrul Hisham Abdul Hamid, 64, berkata Lorong Bukit Jati 3, 4 dan 5 kini menjadi laluan tetap lori berat menuju ke tapak pembinaan, sekali gus menimbulkan risiko kemalangan terutama pada waktu puncak.