KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan tegas terhadap beberapa premis perniagaan yang meletakkan meja dan kerusi di kawasan awam tanpa permit sah dalam satu operasi penguatkuasaan di sini, malam tadi.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK itu melibatkan kawasan sekitar Jalan Raya Barat, Teluk Pulai dan Sungai Bertek.

MBDK dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak lapan premis telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati enam premis memiliki lesen perniagaan yang sah, manakala dua lagi beroperasi tanpa lesen.
“Empat premis dikenal pasti mempunyai permit meletakkan kerusi dan meja yang sah, manakala baki selebihnya tidak pernah membuat permohonan kepada pihak majlis,” menurut kenyataan itu di laman Facebook MBDK pada Rabu.
Sehubungan itu, tindakan sitaan ke atas kerusi dan meja telah diambil terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan, selain kompaun turut dikenakan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen.
MBDK menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan peniaga mematuhi syarat pelesenan serta tidak menggunakan ruang awam sesuka hati tanpa kebenaran.