![]() |
KLANG - Kerja penyelenggaraan dan menceriakan kawasan sekitar Klang sempena istiadat pernikahan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah siap sepenuhnya, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain. Beliau berkata, kerja tersebut termasuk naik taraf dan penurapan jalan serta pemasangan hiasan lampu, dengan pihaknya kini memastikan semua persiapan itu berada pada tahap terbaik untuk menyambut pengunjung yang bakal menghadiri majlis tersebut. ”Kita juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai memetik bunga atau melakukan vandalisme. Saya memohon semua untuk bersama-sama memastikan kawasan bandar raya ini sentiasa bersih dan kemas,” katanya sidang media persiapan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di sini pada Isnin. Abd Hamid berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 2,000 pengunjung yang mahu menyaksikan hari istimewa itu, dan menasihatkan orang ramai untuk hadir awal serta menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan bagi mengelakkan kesesakan. Beliau berkata, hanya laluan dari Galeri Diraja menuju ke Istana Alam Shah di sini, akan ditutup seawal 7 pagi 2 Oktober untuk memberi laluan kepada istiadat perarakan yang dijangka bermula jam 9 pagi. Orang ramai boleh meletakkan kenderaan di stesen komuter Klang dan Stadium Sultan Sulaiman, selain pihaknya dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan 400 pegawai dan anggota untuk menjaga ketenteraman. ”MBDK akan mengagihkan 2,000 unit bendera Selangor kepada pengunjung terawal untuk dilambaikan kepada Raja Muda Selangor,” katanya. Terdahulu, Tengku Amir Shah pada pagi tadi berkenan meninjau dan menyertai raptai istiadat perarakan pernikahan baginda yang akan bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz sehingga ke Istana Alam Shah. Pada Isnin lepas, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan putera baginda, Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Oktober ini. Menurut kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, istiadat pernikahan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah. Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober. |
Sumber: |