Bagi kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berjaya merangkul kejuaraan selepas menundukkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan keputusan 24-12.
Perlawanan akhir kejohanan itu turut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan penaja utama, Takaful Ikhlas, menyaksikan penyertaan sebanyak 30 pasukan dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM30,000.
Penganjuran kejohanan itu merupakan antara acara berprestij sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan dan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Selain itu, kejohanan ini juga menjadi salah satu tarikan utama dalam kempen Tahun Melawat Perlis 2024–2025 yang diteruskan sehingga penghujung tahun hadapan, sebagai kesinambungan kepada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.