KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) meneruskan komitmennya dalam memastikan pematuhan undang-undang dengan melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Perniagaan Warga Asing di sekitar Jalan Pos Baru, di sini.
Operasi yang diketuai oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBDK itu menumpukan pemeriksaan terhadap premis dan halangan di kaki lima yang sering menjadi rungutan awam.

Sehubungan itu, empat tindakan sitaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk satu sitaan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Peruntukan Estetik Majlis Perbandaran Klang 2007 serta tiga sitaan mengikut UUK 21(1)(a) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007.
MBDK dalam kenyataan di laman Facebook rasmi pada Jumaat memaklumkan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bandar raya Klang kekal teratur serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.