SHAH ALAM: Premis yang menjalankan perniagaan rokok elektronik atau vape masih meneruskan operasi mereka seperti biasa, malah pelanggan yang terdiri dalam kalangan lelaki dewasa keluar masuk untuk membelinya.

Tinjauan di sekitar Seksyen 2, Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 18, Shah Alam mendapati premis terbabit terletak di kawasan awam di bangunan kedai biasa dan ada penduduk mendakwa suasana di premis berkenaan pada sebelah malam lebih 'meriah', berbanding siang hari.

Premis menjual e-rokok dan vape di sekitar Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 18 di Shah Alam yang beroperasi seperti biasa. - Foto NSTP/RUWAIDA MD ZAIN Premis menjual e-rokok dan vape di sekitar Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 18 di Shah Alam yang beroperasi seperti biasa. - Foto NSTP/RUWAIDA MD ZAIN

Semalam, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah menyita iklan memaparkan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri dengan negeri ini dalam proses pertimbangan untuk melarang penjualannya berikutan ancaman penggunaan rokok elektronik yang semakin membimbangkan, khususnya generasi muda.

 

Premis menjual e-rokok dan vape di sekitar Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 18 di Shah Alam yang beroperasi seperti biasa. - Foto NSTP/RUWAIDA MD ZAIN
Premis menjual e-rokok dan vape di sekitar Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 18 di Shah Alam yang beroperasi seperti biasa. - Foto NSTP/RUWAIDA MD ZAIN

Sementara itu, beberapa PBT di Selangor memberikan pelbagai maklum balas susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh EXCO Kesihatan Awam negeri, Jamaliah Jamaluddin berhubung isu berkenaan.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz, berkata pihaknya mengikut arahan daripada kerajaan negeri selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.

"MBDK akan melaksanakan tindakan penurunan iklan-iklan yang memaparkan rokok elektronik atau vape di kawasan MBDK seperti mana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil 21, Undang-Undang Kecil Iklan (MPK) 2007.

"Pihak majlis tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan bagi aktiviti rokok elektronik (vape)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd, berkata pihaknya menyambut baik dan menyokong arahan bagi melaksanakan langkah awal dalam usaha mengekang ancaman penggunaan rokok elektronik yang mencetuskan kegusaran awam terutama dalam kalangan generasi muda di negeri ini seperti yang dinyatakan oleh EXCO Kesihatan Awam.

"MPKL memandang serius perkembangan aktiviti vape dalam kalangan masyarakat dan sedang meneliti bagi menggerakkan operasi pemberitahuan kepada pihak terbabit supaya tiada lagi paparan iklan (gegantung dan sepanduk) berkaitan produk vape dalam kawasan pentadbiran MPKL.

"Kita akan beri ruang kepada pemilik premis atau pengiklan untuk menurunkan sendiri sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk rokok elektronik sebelum tindakan lebih tegas diambil sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.

"Tindakan yang sedang digerakkan ini adalah langkah yang tepat dalam melahirkan generasi yang lebih sihat, produktif sebagai aset masa hadapan negara selaras dengan selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokokuntuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Fauzi Aziz Maamor ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak memberikan lesen kepada premis yang menjalankan aktiviti membuat, memproses, menjual dan menyimpan rokok elektronik.

"Mana-mana premis yang beroperasi tanpa mempunyai lesen yang sah, pihak MBSA boleh mengambil tindakan kompaun di bawah peruntukan 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007 dan penyitaan Mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Merujuk kepada kenyataan media oleh Yang Berhormat EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor semalam, Jabatan Pelesenan mengambil maklum berkenaan perkara itu serta mengikuti perkembangan lanjut bagi tindakan yang akan diambil seiring dengan dasar yang dikuatkuasakan," katanya.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) enggan mengulas mengenai perkara itu ketika dihubungi sebentar tadi.

Sumber : Berita Harian
Sila klik pautan di sini