Klang : Juara Corporate Super Rugby (CSR) 2025, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors (RTW) menganggap kejayaan di saingan final kejohanan itu adalah usaha berpasukan dan berazam terus memperkuatkan pasukan.

Royal Town Warrior juara ragbi CSR 2025

Pengurusnya, Shahizam Tukiran meluahkan rasa bangga dan bersyukur atas kemenangan penuh bersejarah itu.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada semua pengurusan tertinggi MBDK khususnya Datuk Bandar, Datuk Abd Hamid Hussain yang memberi dorongan serta sokongan membantu kejayaan pasukan.

"Kemenangan ini bukan sekadar milik pasukan malah ia adalah milik Klang. Kami bina pasukan ini dengan semangat komuniti. Pencapaian ini cukup membanggakan buat semua dan menjadi detik yang tidak akan dilupakan buat kami," katanya.

Tambahnya, barisan pengurusan serta kejurulatihan akan terus berusaha memperkuatkan pasukan itu untuk berdepan kejohanan akan datang antaranya Pulapol 10s dan Edwardian 10s dijadualkan berlangsung Jun serta Julai nanti.

Pada aksi final CSR 2025 Sabtu lalu, MBDK RTW berjaya menamatkan penguasaan Muamalat Bullets selepas mencatat kemenangan dramatik 16-15 di Stadium Sultan Suleiman, Klang.

Kejayaan itu membolehkan mereka menjadi pasukan kedua dalam sejarah CSR yang berjaya menjulang kejuaraan sekali gus menyekat dominasi dua tahun Muamalat Bullets dan membuka era baharu dalam ragbi korporat tanah air.

MBDK RTW juga menebus kekalahan mereka pada edisi sulung tiga tahun lalu.

Bagaimanapun dalam aksi final bersejarah itu, Muamalat Bullets membuka permainan dengan cemerlang melalui Mohamad Faris Pead yang mengekalkan ketajamannya menerusi empat sepakan penalti sempurna, menyumbang 12 mata.

MBDK RTW bangkit apabila Umar Irsyad mencipta detik penting dengan satu-satunya try perlawanan, manakala pemain kebangsaan, Mohamad Fairuz Rahman memastikan kelebihan tuan rumah dengan tiga sepakan penalti yang tepat.

Ketika permainan hampir ke penghujungnya, perlawanan terpaksa dihentikan seketika akibat cuaca buruk dengan satu 'last play' masih berbaki.

Berdasarkan peraturan kejohanan, permainan tidak dapat disambung dan keputusan ketika itu dianggap muktamad, sekali gus mengesahkan kemenangan MBDK RTW.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang trofi pusingan serta hadiah wang tunai RM15,000 manakala Muamalat Bullets menerima RM7,000 sebagai naib juara.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan CSR, Shahrizin Shaharudin, menyifatkan kejayaan edisi kali ini sebagai hasil komitmen luar biasa semua pihak.

Menurutnya, kejohanan ini bukan lagi eksperimen malah ia menjadi komponen penting dalam ekosistem ragbi Malaysia.

Sumber : Harian Metro
Sila klik pautan di sini