SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang merobohkan dua premis mencuci kenderaan yang dibina tanpa kebenaran di Jalan Dato Tahir Manan 77A, Taman Jaya, Kapar, Klang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan operasi bersepadu itu dijalankan bagi menangani isu pembinaan struktur tanpa kebenaran yang menyebabkan gangguan saliran di sekitar kawasan Kapar.

"Premis berkenaan dibina di atas kawasan parit serta laluan yang tidak dibenarkan. Tindakan perobohan terpaksa diambil selepas premis berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan serta memberi kesan terhadap kelancaran sistem saliran.

“Pembinaan struktur di atas parit bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh mengundang risiko banjir kilat dan menjejaskan keselamatan serta keselesaan penduduk setempat,

"Pembinaan struktur konkrit tersebut telah menyebabkan aliran air tersumbat, sekaligus berisiko mengundang kejadian banjir kilat, khususnya ketika hujan lebat" jelas kenyataan MBDK.

MBDK memaklumkan pihak kontraktor daripada Jabatan Kejuruteraan MBDK telah melaksanakan tindakan meroboh dan memecahkan binaan konkrit berkenaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Operasi bersepadu ini turut melibatkan Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran serta Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tindakan dijalankan.

MBDK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana aktiviti perniagaan yang dijalankan tanpa kelulusan, terutamanya yang memberi kesan kepada sistem saliran dan keselamatan awam, demi kesejahteraan penduduk setempat.

Sumber: