KLANG, 30 JULAI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sedang melaksanakan pelbagai langkah strategik melalui konsep reka bentuk bandar selamat atau crime prevention through environmental design (CPTED) untuk meningkatkan persepsi rasa selamat dalam kalangan orang awam.
Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata, antara langkah utama ialah pemasangan pagar penghadang di laluan pejalan kaki di jalan utama, menambah pencahayaan awam dan pemasangan cermin keselamatan di lokasi titik buta.
"Penghadang ini menyukarkan penjenayah untuk bertindak dan melarikan diri, sekali gus memberi lebih perlindungan kepada pejalan kaki," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis di Bbangunan MBDK, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, yang menyatakan bahawa Klang mencatatkan antara rekod jenayah tertinggi, selain Kajang dan Gombak.
Bagi memantau kawasan berisiko tinggi, katanya sebanyak 507 unit kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang, dengan 20 daripadanya khusus di lokasi panas jenayah yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain di tempat pembuangan sampah dan taman rekreasi.
Tambah beliau, reka bentuk taman dan ruang awam kini disusun agar mudah diperhatikan secara semula jadi, dengan pengurangan kawasan terlindung dan sudut sempit. Ia juga menjadi syarat wajib dalam pelan kelulusan pembangunan baharu.
Kerjasama rapat turut dijalinkan dengan PDRM melalui rondaan bersama, perkongsian data jenayah, serta penyertaan pihak polis dalam mesyuarat jawatankuasa infrastruktur dan program komuniti.
MBDK turut menggiatkan program kesedaran bersama penduduk termasuk ceramah keselamatan dan galakan kepada Rukun Tetangga agar mengaktifkan semula rondaan komuniti.
"Penduduk adalah barisan hadapan dalam usaha ini, dan kita perlukan kerjasama mereka untuk menjadikan Klang bandar yang benar-benar selamat," katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk setempat untuk mengambil langkah keselamatan diri dan harta benda.
"Sentiasa kunci kediaman, pasang CCTV di rumah dan kamera papan pemuka di kenderaan. Jika berlaku sesuatu, ini boleh membantu pihak berkuasa jejaki penjenayah dengan rakaman yang dibuat," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar jenayah yang tinggi di Klang turut didorong oleh keluasan kawasan melebihi 500 kilometer persegi serta kepadatan penduduk yang mencecah lebih sejuta orang dengan "Dengan kekuatan anggota terhad, kita perlukan kolaborasi semua pihak termasuk pemilik premis, kilang dan masyarakat sendiri untuk mengambil langkah keselamatan," jelas beliau.
Dalam usaha mengawal pergerakan dan keselamatan pekerja asing, MBDK turut menyusun semula penempatan mereka melalui sistem TLQ dan CLQ agar lebih tersusun dan mudah dipantau.
Pada masa sama, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Datuk Hussein Omar Khan berkenaan pemasangan CCTV dan penggunaan dron serta sistem pintar di kawasan komersial.
"Mungkin kita juga akan terbangkan dron untuk menyemak aktiviti-aktiviti yang ada dalam kawasan tersebut. Sepertimana sarang-sarang penjenayah mungkin ada aktiviti dan mungkin kita boleh lihat dan kita akan cuba membuat tinjauan dan juga kerjasama dengan agensi penguatkuasa," katanya.
Bagi mengurangkan potensi kawasan jenayah, premis terbiar juga dikenakan tindakan penguatkuasaan. Pemilik premis diberi notis agar membaik pulih atau mengambil langkah sewajarnya, bagi mengelakkan ia dijadikan tempat persembunyian penjenayah.