KLANG, 27 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merekodkan kutipan cukai taksiran sebanyak RM341 juta pada 2025, meningkat lebih RM60 juta berbanding tahun sebelumnya.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, peningkatan itu turut didorong pertambahan bayaran cukai secara dalam talian, selaras dengan hasrat MBDK untuk melaksanakan dasar pendigitalan bermula tahun ini.

“Kita dapat pertambahan lebih RM60 juta berbanding sebelum ini. Dengan pertambahan ini, kita boleh adakan lebih banyak program, menyediakan infrastruktur dan kemudahan lain.

“Ke arah pendigitalan, masyarakat Klang mula menyelesaikan cukai melalui atas talian. Ini sangat penting untuk elakkan kesesakan di kaunter. Setakat ini sambutan menggalakkan dan kita kutip lebih 600,000 transaksi pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berucap pada program serahan hadiah bagi pemenang peraduan cabutan bertuah pembayar cukai tahun 2025 di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 27 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah bagi Pembayar Cukai Taksiran Melalui Portal IPay MBDK di Dewan Hamzah MBDK di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 92 pembayar cukai diraikan menerusi kempen penghargaan yang berlangsung sehingga 15 Disember 2025, dengan pemenang dipilih menggunakan kaedah Spinning Wheel pada 7 Januari lalu.

Abd Hamid berkata, penganjuran peraduan itu bertujuan menghargai pembayar cukai yang komited, prihatin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan bandar.

“Pendekatan ini mencerminkan hasrat MBDK untuk membina hubungan yang lebih erat dan positif dengan masyarakat, berlandaskan kepercayaan, kerjasama serta semangat tanggungjawab bersama,” katanya.

Sumber: