imej

KLANG- Sebanyak 103 kes pembuangan sampah haram dikesan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

MBDK dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah itu susut sedikit berbanding 109 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, penggunaan teknologi CCTV membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih sistematik, selain membantu mengenal pasti kenderaan dan pihak yang disyaki terbabit untuk tindakan susulan Jabatan Penguatkuasa.

“Sehingga 30 September 2026, sebanyak 909 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 576 kompaun telah dibayar, melibatkan kutipan hasil berjumlah RM247,360,” menurut kenyataan itu.

Selain mengesan kesalahan pembuangan sampah haram, Unit CCTV MBDK turut membantu agensi penguatkuasaan lain menerusi perkongsian rakaman bagi tujuan siasatan.

Sehingga 30 September lalu, sebanyak 24 permohonan rakaman CCTV diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Bagi September sahaja, sebanyak 4,128 rakaman CCTV berkaitan pengesanan pembuangan sampah haram direkodkan, dengan lapan aktiviti pembuangan sampah haram dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, dua kompaun telah dikeluarkan, manakala enam kes masih dalam proses mendapatkan maklumat lanjut menerusi kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM.

MBDK menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pembuangan sampah haram.

Menurutnya, penggunaan teknologi CCTV akan terus diperkasakan sebagai mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan Klang kekal bersih, selamat serta selesa untuk didiami. – MalaysiaGazette

logo