KLANG, 1 Jun - Sebanyak 1,234 kilogram sampah dapat dikumpul melalui program Pembersihan Sungai Klang yang berlangsung sekitar Royal Selangor Yacht Club, Klang, hari ini.
Menurut Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), meliputi 472 kilogram bahan boleh di kitar semula dan 762 kilogram bahan buangan yang tidak boleh di kitar semula.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, program itu merupakan sebahagian inisiatif kebersihan sungai di bawah Jawatankuasa Kerja Kebersihan Daerah Klang, susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj agar usaha pemuliharaan sungai dipergiatkan.
Seramai 500 peserta menyertai program tersebut.
"Program ini diharapkan sebagai salah satu kempen. Sampah ini tidak datang sendiri ke sungai. Mesti ada pihak yang membuangnya atau dibuang secara tidak teratur."
"Jadi diharapkan melalui program ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di negara, khususnya yang berada di pesisir sungai Kelang supaya mereka lebih bertanggungjawab." katanya.
"Ini bagi memastikan sampah berkenaan dapat dibuang pada tempat yang sepatutnya dan seterusnya boleh dapat dikitar semula."
Jelas Hamid, program ini menyasarkan kutipan sebanyak 20 tan sampah sepanjang tiga jam proses pembersihan dilaksanakan, dengan menggunakan 30 buah bot dan sampan sejak pukul 10 pagi tadi.
Tambah beliau, sampah yang dikutip akan diproses dan dijual.
Manakala hasilnya akan disalurkan kepada persatuan nelayan yang terlibat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pembersihan Sungai di Klang, hari ini.
Peserta terlibat terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, universiti, badan bukan kerajaan serta persatuan nelayan.