SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi risiko banjir, termasuk fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku lima hari bermula esok. Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain, berkata kesiapsiagaan itu diperkukuhkan menerusi penyelarasan tindakan bersama agensi berkaitan pada Mesyuarat Penyelarasan Isu Banjir November 2026. Beliau berkata, beberapa lokasi berisiko banjir diberi tumpuan antaranya Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju dan Jalan Haji Salleh, Pekan Meru. "Antara langkah yang diberi perhatian termasuk menaik taraf sistem saliran, pemasangan flap gate, pembaikan paip pelepasan dan penyelenggaraan kolam takungan. "Skuad Pantas MBDK dan jabatan berkaitan sentiasa dalam kesiapsiagan tinggi bagi memastikan tindakan segera dilaksanakan terhadap sebarang aduan dan bencana," katanya dalam kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, sebanyak 83 aduan bencana diterima pihaknya dalam tempoh dua hari lalu dengan 62 kes berjaya diselesaikan, manakala 16 masih dalam tindakan dan lima bantuan khas. Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya berwaspada dan membuat persediaan awal menghadapi fenomena air pasang besar. "Mereka dinasihatkan sentiasa memantau perkembangan cuaca dan makluman rasmi pihak berkuasa selain mengelak kawasan berisiko ketika hujan lebat serta air pasang. "Dokumen dan barangan berharga di perlu di tempat selamat manakala kenderaan dialihkan ke kawasan lebih tinggi serta persediaan kecemasan keluarga perlu sentiasa mencukupi," katanya. Berdasarkan hebahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, fenomena itu dijangka berlaku esok hingga 11 November ini dengan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah sehingga 5.2 meter. Bacaan tertinggi itu dijangka dicatatkan pada jam 5.02 pagi Ahad, sekali gus berada dalam kategori paras amaran. Mengikut petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter sebagai paras bahaya. Hebahan itu memaklumkan ramalan cuaca turut menunjukkan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah petang Sabtu dan Ahad, diikuti hujan di beberapa tempat pada waktu malam. Sementara itu, Abd Hamid berkata, penduduk yang mengalami kerosakan kenderaan atau harta benda akibat pokok tumbang di bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan kepada pihaknya. "Laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu sebelum tuntutan dikemukakan untuk semakan dan tindakan lanjut," katanya. |