KLANG – Sebanyak 909 kompaun dikeluarkan kepada pesalah pembuangan sampah haram hasil tindakan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam tempoh sembilan tahun ini. Pengarah Komunikasi MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 576 kompaun telah dibayar melibatkan hasil sebanyak RM247,360. Katanya, tindakan kompaun itu hasil 103 kes pembuangan sampah dikesan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) MBDK berbanding 109 bagi tempoh sama tahun lalu. “Penggunaan teknologi CCTV ini membolehkan MBDK menjalankan pemantauan secara lebih sistematik serta membantu mengenal pasti kenderaan dan pihak yang disyaki terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram. “Tindakan kompaun dan sitaan dilaksanakan dibawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 (UUK PPPS),” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, Unit CCTV MBDK turut membantu agensi penguatkuasaan lain apabila menerima 24 permohonan rakaman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 30 September lalu bagi membantu siasatan. Katanya, bagi tempoh sepanjang September ini sahaja sebanyak 4,128 rakaman CCTV berkaitan pengesanan pembuangan sampah haram direkodkan, dengan lapan aktiviti dikenal pasti. “Daripada jumlah tersebut, dua kompaun telah dikeluarkan, manakala enam kes masih dalam proses pencarian maklumat melalui kerjasama dengan JPJ dan PDRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE |