SHAH ALAM, 16 DIS: Seramai 200 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan asnaf sekitar Klang menerima bantuan kelengkapan sekolah sempena Program Back to School pada 14 Disember. Ahli Majlis bagi 13 kawasan di Klang Dato' Zuraidah Mohd Said berkata setiap pelajar menerima baucar RM100, beg sekolah dan set alat tulis yang diagihkan bersama ketua kampung dan guru besar. "Kerjasama padu ini memastikan bantuan disalurkan kepada murid yang benar-benar layak, sekali gus memberi semangat dan keyakinan kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan 2026 dengan lebih positif," katanya dalam kenyataan. Bantuan diserahkan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussein. Dalam pada itu, Zuraidah berkata daerah Kapar berkembang pesat dengan kewujudan pelbagai taman perumahan baharu serta pertumbuhan kawasan perindustrian yang semakin maju. Menurutnya, pertumbuhan itu bukan hanya membuka peluang ekonomi baharu, malah memerlukan penyelarasan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan. "Melalui kerjasama erat antara Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan pemimpin komuniti setempat, kita memastikan pembangunan ini dilaksanakan secara tersusun, lestari dan memberi manfaat langsung kepada penduduk," katanya lagi. |