empat stesen lrt3 jadi tumpuan pembangunan transit

KLANG, 28 Jun – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengenal pasti beberapa kawasan tanah lapang sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang berpotensi untuk melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, antara kawasan terbabit, termasuk stesen Sri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia yang mempunyai kawasan luas untuk membangunkan pusat komersial atau perumahan mampu milik.

“Kalau bina park and ride sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan ia hanya untuk parkir. Kalau kita katakan 600 petak, ia memanfaatkan 600 penumpang memandangkan mereka menggunakannya sepanjang hari.

“Jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan ialah untuk kita mengoptimumkan penggunaan tanah dan perbanyakkan konsep TOD ini,” katanya selepas majlis pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loke berkata, pembangunan di kawasan terbabit akan melibatkan kerjasama pihak swasta dalam memastikan masyarakat dapat menikmati limpahan pembangunan susulan pembinaan kemudahan itu.

Dalam pada itu katanya, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bercadang menambah lima lagi stesen LRT3 Laluan Shah Alam iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan pembinaan dijangka bermula hujung tahun ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar dalam ucapan beliau mahu tanah milik Prasarana yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat menerusi konsep TOD.

Perdana Menteri berkata, pembangunan di kawasan strategik berhampiran perlu mengutamakan kemudahan parkir yang mencukupi serta ruang perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.

Pendekatan itu dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, malah berpotensi menjana pulangan komersial yang lebih baik.

logo