imej

KLANG, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Festival Warisan Seni Budaya dan Pelancongan Klang 2026 menjadi platform memperkukuh identiti Klang sebagai destinasi pelancongan berteraskan warisan menerusi pelbagai pengisian kebudayaan dan keunikan kulinari yang menarik ribuan pelancong tempatan dan luar.

Festival dua hari anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu berlangsung di Padang Laman Seni, Safari Jejak Warisan Klang, di sini, sebagai usaha memelihara, menghargai dan mempromosikan warisan seni budaya serta sejarah unik bandar raya berkenaan.

Datuk Bandar MBDK Dato’ Abd. Hamid Hussain berkata, festival berkenaan merupakan bukti iltizam berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan identiti sejarah daerah ini terus terpelihara.

“Sebagai sebuah Bandaraya Diraja yang sarat dengan lembaran sejarah, Klang bukan sahaja hub ekonomi, malah merupakan gedung khazanah bangsa yang tiada galang gantinya.

“Festival ini adalah manifestasi komitmen mampan MBDK untuk terus memelihara, menghargai, dan menyemarakkan seni warisan tempatan agar ia tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, kita mahu memastikan identiti dan jati diri Klang ini terus segar dan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya berucap merasmikan majlis berkenaan di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd Zary Affendi Mohd Arif.

Beliau berkata menerusi inisiatif seperti Safari Jejak Warisan Klang, MBDK bukan sahaja mempromosikan produk tempatan dan menyokong usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), malah memacu penjenamaan Klang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang wajib dikunjungi.

Pihak MBDK turut berharap masyarakat dan para pengunjung dapat bersama-sama menghargai serta menjaga kelestarian warisan Klang, di samping menjadi ‘duta warisan’ dengan mempromosikan keunikan bandar raya ini menerusi platform media sosial.

Sepanjang program dua hari itu, pelbagai pengisian disediakan untuk seisi keluarga termasuk Syurga Makanan Klang seperti Pesta Sambal, Pesta Kopi, Pesta Lontong dan Pesta Cendol.

Turut diadakan persembahan kebudayaan, Pertandingan Busana di laluan ikonik Royal Klang Town Heritage Walk, Pertunjukan Persembahan Pantulan Cahaya 3D, pameran sukan tradisional, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak serta acara cabutan bertuah.

logo