KLANG, 22 Nov (Bernama) – Pengunjung GM Klang, pusat pemborongan terbesar di Malaysia, kini berpeluang mengenali keunikan identiti dan warisan Klang, bekas ibu negeri Selangor, menerusi pameran fotografi khas bertajuk “Klang Dalam Lensa” yang dibuka hari ini di ruang Atrium, aras bawah premis berkenaan. Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengetengahkan sisi lain daerah Klang, melangkaui reputasinya sebagai destinasi membeli-belah secara borong. “Pameran ini menampilkan koleksi fotografi yang mengetengahkan keunikan seni bina mercu tanda ikonik serta kepelbagaian warisan tempatan Klang, termasuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Istana Alam Shah. “Ramai pengunjung datang ke GM Klang untuk membeli-belah dan kami melihat perkara ini sebagai peluang untuk memperkenalkan Klang kepada mereka. Kami mahu mereka mengenali tarikan serta identiti bekas ibu negeri Selangor ini, sekali gus mendorong mereka untuk menerokai sendiri bandar raya ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran pameran tersebut di GM Klang Atrium & Art Port hari ini. Pameran berkenaan dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain. Turut hadir ialah Ahli Majlis MBDK Zon N49B, Muhammad Azwan Adam; Ketua Pegawai Operasi GM Klang, Foo Loke Peng; serta Pengurus Besar GM Klang, Chloe Tan Siang Hui. Lim berkata, inisiatif tersebut turut didorong oleh peningkatan jumlah pelancong antarabangsa yang mengunjungi pusat pemborongan berkenaan, sekali gus meletakkan GM Klang pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai Duta Pelancongan Bandaraya Diraja Klang. “Pada masa hadapan, hentian bas ‘Hop-On Hop-Off’ (HOHO) di GM Klang dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong, sekali gus memperkukuh peranan kami dalam ekosistem pelancongan Klang,” katanya. Sejurus selepas majlis pelancaran, para tetamu kehormat dibawa melawat ‘Port Seni’, sebuah hab kreatif yang dilancarkan pada Ogos lalu, yang menampilkan pelbagai karya seni dan produk kreatif hasil masyarakat setempat. Usaha bersepadu dalam mengetengahkan warisan sejarah Klang menerusi pameran “Klang Dalam Lensa” serta mempromosikan bakat kreatif tempatan melalui ‘Port Seni’ mencerminkan komitmen GM Klang untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pintu masuk kepada pengunjung untuk menerokai keunikan warisan, seni dan budaya Bandaraya Diraja Klang. — BERNAMA |