KLANG, 23 Nov – GM Klang hari ini melancarkan pameran fotografi bertajuk “Klang Dalam Lensa” (Klang Through the Lens) yang berlangsung di ruang atrium aras bawah premis berkenaan. Pameran tersebut mengetengahkan mercu tanda, budaya serta tarikan pelancongan Bandaraya Diraja Klang, termasuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Istana Alam Shah. Lebih daripada sekadar elemen dekoratif, setiap karya fotografi yang dipamerkan menyerlahkan identiti Klang bukan sahaja sebagai destinasi pemborongan, malah sebagai sebuah bandar raya diraja yang kaya dengan sejarah, warisan dan kepelbagaian budaya. Pengurus Besar GM Klang, Chloe Tan Siang Hui berkata, peningkatan jumlah pelancong antarabangsa yang mengunjungi GM Klang telah membuka peluang kepada syarikat itu untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai Duta Pelancongan Bandaraya Diraja Klang. “Ramai pengunjung datang ke GM Klang untuk membeli-belah dan kami melihat perkara ini sebagai peluang untuk mendekatkan mereka dengan Klang. Menerusi ‘Klang Dalam Lensa’, kami mahu pengunjung mengenali tarikan dan identiti bandar raya ini, sekali gus mendorong mereka untuk menerokainya sendiri. “Pada masa hadapan, hentian bas ‘Hop-On Hop-Off’ (HOHO) di GM Klang juga dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong, sekali gus memperkukuh peranan GM Klang dalam ekosistem pelancongan Klang,” katanya. Pameran tersebut dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato’ Abd Hamid Hussain. Turut hadir ialah Ahli Majlis MBDK Zon N49B, Muhammad Azwan Adam; Pengarah Urusan GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok; serta barisan pengurusan GM Klang. Program diteruskan dengan lawatan ke Port Seni, sebuah hab kreatif GM Klang yang dilancarkan pada Ogos lalu, menghimpunkan pelbagai karya seni, produk dan hasil kreativiti komuniti tempatan. Gabungan inisiatif “Klang Dalam Lensa” dan Port Seni memperkukuh kedudukan GM Klang bukan sekadar sebagai destinasi membeli-belah, malah sebagai pintu masuk kepada pengunjung untuk menerokai keunikan Bandaraya Diraja Klang, daripada kekayaan warisan sejarah hingga kepelbagaian bakat dan kreativiti masyarakat setempat. |