SHAH ALAM, 22 JULAI: Pelan Tindakan Kembara Pelancongan Bandaraya Diraja Klang 2035 bakal mengangkat daerah itu destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, berdaya saing, mampan dan inklusif.

Klang bakal destinasi pelancongan antarabangsa menjelang 2035

Datuk Bandar Klang berkata pelan tindakan jangka pendek dan panjang bagi tempoh 2025 sehingga 2035 itu, bukan hanya merangkumi perancangan fizikal, tetapi turut menekankan aspek pengurusan strategik pelancongan, infrastruktur, kemudahan awam, impak ekonomi dan pemeliharaan nilai warisan sejarah Klang.

Jelas Dato’ Abd Hamid Hussain, pelan tindakan itu antara lain bagi menaik taraf kawasan pelancongan Klang yang lebih berdaya saing ke arah pembangunan mampan dan inklusif selaras matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2035.

“Kategori pelancongan yang akan menjadi tumpuan termasuklah warisan dan budaya, beli-belah, eko pelancongan, agro pelancongan/pertanian, sukan dan rekreasi, industri, maritim dan gastronomi.

“Dengan perancangan tersusun untuk tempoh jangka pendek dan panjang, ia akan mengubah imej Bandar Diraja Klang, meningkatkan nilai hartanah serta meningkatkan peluang ekonomi dan pelaburan dalam sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.

Klang bakal destinasi pelancongan antarabangsa menjelang 2035

Beliau berucap merasmikan program Focus Group Discussion (FGD) Cadangan Pelan Tindakan Kembara Pelancongan Bandaraya Diraja Klang 2035 di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.

Menurutnya, FGD itu platform terbaik menemukan agensi, pihak berkepentingan, pengusaha pelancongan, produk dan hotel di bawah satu bumbung, bagi memberikan pandangan terbaik untuk menyusun pelan tindakan dan penambahbaikan kawasan pelancongan di daerah Klang.

“Merujuk Rancangan Tempatan Bandaraya Diraja Klang 2035 (Pengubahan 1), sektor pelancongan antara sektor perkhidmatan penting, kerana Klang mempunyai tarikan pelancongan berasaskan warisan Diraja dan bersejarah selain produk pelancongan bandar dan eko pelancongan yang boleh diketengahkan untuk tarikan pelancong.

“Terdapat beberapa isu dan masalah yang telah dikenalpasti seperti isu lokasi atau kawasan tumpuan pelancongan, kemudahan asas dan sokongan, imej bandar, kebersihan, pengindahan dan pemuliharaan bangunan serta isu lain dalam sektor pelancongan.

“Matlamat penyediaan Pelan Kembara Pelancongan selaras tranformasi kawasan pelancongan, ke arah melestari Klang sebagai destinasi pusat pelancongan antarabangsa berdaya saing, berdaya tahan, mampan dan inklusif,” katanya.

Sumber :
Selangorkini