KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bakal menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perbandaran Haikou di Wilayah Hainan, China, bagi mengkaji reka bentuk laluan pejalan kaki, mempromosikan sektor pelancongan serta menggalakkan pelaburan perniagaan di Klang, Selangor. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, MBDK akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Haikou bagi mengadaptasi amalan terbaik dalam pembangunan bandar. Menurut beliau, kerjasama tersebut membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi kepakaran, khususnya dalam aspek kelestarian dan pendekatan pembangunan bandar pintar. “Matlamat kami adalah untuk mempelajari amalan terbaik Haikou dalam pembinaan laluan pejalan kaki bagi menambah baik integrasi dengan Laluan LRT Shah Alam, menarik kedatangan pelancong dari Haikou ke lokasi warisan di Klang serta mempromosikan peluang perniagaan tempatan kepada pelabur dari Haikou,” katanya. Laluan LRT Shah Alam yang merangkumi sembilan stesen di Klang telah mula beroperasi pada Jun tahun ini. Abd Hamid mewakili MBDK dalam Mesyuarat Majlis Pertubuhan Bandar dan Kerajaan Tempatan Bersatu Asia Pasifik (UCLG ASPAC) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Haikou. Dalam sesi dialog yang diadakan, beliau mengetengahkan potensi strategik Klang untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pembangunan bandar mampan, pelancongan dua hala serta peluang pelaburan dan perniagaan. “Kerjasama ini bakal menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan infrastruktur mampan di Klang,” katanya. Abd Hamid turut menegaskan bahawa pendekatan strategik perlu dilaksanakan bagi memperluas jaringan antarabangsa Klang, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari Hainan. “Kami mahu memanfaatkan persamaan sejarah maritim antara kedua-dua bandar, memandangkan Haikou juga merupakan sebuah bandar pelabuhan, bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta memposisikan Klang, bandar diraja bersejarah di Selangor, sebagai destinasi pelancongan warisan utama dalam kalangan pelancong dari China,” katanya. Haikou merupakan sebuah Pelabuhan Perdagangan Bebas yang mempunyai jaringan perhubungan antarabangsa yang kukuh. Dalam forum utama program berkenaan, Abd Hamid turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Bandaraya Diraja Klang: Mengimbangi Pertumbuhan Pelabuhan dengan Masa Depan yang Hijau, Pintar dan Inklusif” (Klang Royal City: Balancing Port Growth with a Green, Smart and Inclusive Future). Pembentangan tersebut menekankan kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia serta peranan pentingnya dalam sektor perkapalan, logistik, pengend |