Shamsul Azri berharap dapatan seminar berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dengan hasil yang boleh diukur, selain amalan terbaik yang dikenal pasti dikongsi bersama negeri-negeri lain. Sementara itu, Ahmad Fadzli berkata, Indeks RSTU dibangunkan secara saintifik dan komprehensif dengan tujuan utama mengukur tahap kepuasan rakyat menerusi lima komponen, iaitu ketelusan perkhidmatan, integriti, kebolehpercayaan, governans dan pengesanan ketirisan. Menurutnya, penilaian berasaskan data sebenar daripada pemegang taruh membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti kelemahan serta kekuatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus menentukan aspek yang perlu diperbaiki. “Kita tidak lagi mahu bekerja berasaskan 'agak-agak'. Kita kumpul maklum balas sebenar dari pemegang taruh. "Data dari Indeks inilah yang akan menunjukkan kelemahan kita secara telus, di mana kekuatan kita, dan di mana 'lopak-lopak' yang wajib kita tampal segera. “Indeks ini akan menjadi kompas dan perkara dasar untuk kita nilai sejauh mana keberkesanan tindakan pembetulan yang kita laksanakan hari ini,” katanya. |