Dalam kehidupan moden yang semakin banyak bergantung kepada teknologi dan rutin harian yang kurang melibatkan pergerakan fizikal, aktiviti seperti berjalan kaki, berjoging dan berlari wajar dijadikan sebahagian daripada budaya hidup masyarakat. Malah larian bukan lagi sekadar aktiviti sukan untuk menguji ketahanan fizikal atau mengejar masa terpantas, sebaliknya mampu menjadi platform menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan aktif. Usaha memupuk kesedaran itu antara mesej yang dibawa menerusi penganjuran Royal Klang Marathon 2026 (Maraton Klang Diraja atau RKM2026) bertemakan 'Run Fearless: Move Forward' (Lari Tanpa Gentar: Melangkah ke Hadapan) yang memasuki fasa baharu penganjuran bagi tempoh 2026 sehingga 2028. Tahun ini (2026), RKM2026 akan diadakan pada 22 November 2026 bersamaan hari Ahad pada jam 7 pagi di Dataran GM Klang. Acara ini dianjurkan oleh Monzo Events dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai tuan rumah. Acara berkenaan bukan sahaja menyasarkan penyertaan pelari, malah mahu menghimpunkan keluarga, komuniti dan pengunjung menerusi semangat sukan, kesihatan dan perpaduan. Menurut kenyataan media Monzo Events yang bertarikh 17 November 2026, siri Klang Marathon yang bermula pada 2023 menggunakan aktiviti larian sebagai platform menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh penglibatan komuniti dan menyokong pembangunan bandar mampan. Aktiviti fizikal juga dikaitkan dengan peningkatan kesejahteraan mental serta pengurangan gejala kemurungan dan keresahan. Justeru, acara larian berskala komuniti seperti RKM2026 mempunyai potensi lebih besar daripada sekadar penganjuran pertandingan sukan, iaitu membina kesedaran bahawa menjaga kesihatan memerlukan usaha dan komitmen berterusan. Melalui tema 'Move Forward' bagi 2026, penganjur mahu mengajak masyarakat melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, bukan sahaja dalam sukan tetapi juga dalam membudayakan kehidupan lebih aktif. Pada masa yang sama, penganjuran itu turut menjadi platform untuk memperkenal Klang sebagai Bandar Diraja yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan warisan tersendiri kepada peserta dari dalam dan luar negara. Selain itu penganjuran RKM2026 ini juga diharap dapat menyemai kesedaran bahawa menjaga kesihatan bukan tanggungjawab atlet semata-mata, sebaliknya bermula dengan setiap individu yang memilih untuk bergerak dan kekal aktif. - KitaReporters |