LEBIH 2,000 SERTAI JOM 'HIKE' SIHAT FEST
Timbalan Datuk Bandar, Mohd Zary Affendi Mohd Arif menyampaikan medal kepada Abd Hamid sejurus menamatkan acara Jom 'Hike' Sihat Fest

Klang : Program Jom 'Hike' Sihat Fest 2026 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berjaya menarik lebih 2,000 peserta pelbagai kaum dan usia.

Acara berlangsung di Taman Rakyat, Seri Andalas di sini semalam, dimeriahkan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik.

Program sempena sambutan Hari Bapa itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain program berkenaan turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti fizikal dan pemakanan seimbang.

Katanya, kerjasama bersama Pusat Pakar Perubatan Sri Kota Klang turut memberi nilai tambah apabila pelbagai perkhidmatan saringan dan kaunseling kesihatan percuma disediakan, termasuk saringan mamogram dan ujian kanser serviks.

"Program-program seperti ini akan menarik minat orang ramai untuk ke arah kesihatan. Kalau kita lihat masa kini, kesihatan adalah perkara yang sangat penting dan semuanya bermula dari makanan.

"Jadi kita perlu lakukan aktiviti sihat. Dengan program hari ini, kita mendaki laluan sepanjang tiga kilometer dan ini membolehkan pembakaran kalori yang tinggi. Harap fasiliti kesihatan dapat dijaga supaya program boleh dilaksana berterusan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Tan Suet Guan berkata saringan kesihatan perlu dilakukan secara berkala bagi membolehkan penyakit dikesan lebih awal sebelum menjadi lebih serius.

"Saringan dapat mengesan penyakit di peringkat awal sebelum ia menjadi lebih serius. Pencegahan, pengesanan awal dan tabiat gaya hidup sihat penting untuk memastikan individu menjalani hidup lebih sihat," katanya.

Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti zumba, pembukaan kaunter bayaran cukai oleh MBDK, kempen pendermaan organ, permainan keluarga, seni hiasan belon serta cabutan bertuah.

Dalam pada itu, Abd Hamid memaklumkan MBDK kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan.

Menurutnya, MBDK telah membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan di bawah seliaannya termasuk Stadium Hoki Pandamaran, Stadium Sultan Sulaiman, gelanggang boling padang Bayuemas dan Dewan Bukit Raja.

logo