SHAH ALAM, 20 JULAI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan lima notis sitaan dan lima kompaun terhadap beberapa premis perniagaan di Jalan Sri Sarawak 19, Taman Sri Andalas, Klang yang didapati melanggar syarat pelesenan serta peraturan ditetapkan. MBDK memaklumkan tindakan itu diambil susulan operasi pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan ke atas lapan premis membabitkan kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai makan, kedai jamu dan pasar mini. "Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis beroperasi tanpa lesen MBDK, selain melakukan kesalahan menjual tong gas petroleum cecair (LPG) melebihi had yang dibenarkan tanpa lesen serta menyebabkan halangan di kaki lima," menurut kenyataan MBDK. Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan dengan lancar dan terkawal mengikut peruntukan undang-undang kecil serta akta yang berkuat kuasa. MBDK berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan serta keselamatan warga Klang. |