imej 01
Datuk Bandar Klang Dato' Abdul Hamid Hussain bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama di antara Kumpulan Acmar dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta melancarkan Pertandingan Reka Bentuk Antarabangsa Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Klang di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 10 November 2025.
Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jambatan Kota bakal dibangunkan sebagai lokasi tumpuan baharu yang dijangka memperluaskan lagi sektor pelancongan di Klang seiring pembukaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) Shah Alam.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata pembangunan kawasan bersejarah itu diyakini mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung susulan kemudahan pengangkutan awam yang semakin baik.

Menurutnya, antara program awal yang dilaksanakan di Jambatan Kota ialah Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi Laman Santai 2026 yang dilancarkan minggu lalu.

“Festival ini menjadi pusat masyarakat pelbagai kaum berkumpul. Ini membolehkan kita mengenal budaya masing-masing, sekali gus membentuk semangat perpaduan.

“Pemilihan Jambatan Kota juga dilihat sesuai. Dengan adanya stesen LRT3, kawasan bersejarah ini berpotensi besar menjadi produk pelancongan komuniti yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

“Pelbagai aktiviti disediakan termasuk jualan kraftangan, makanan dan pelbagai lagi sekali gus memberi manfaat kepada usahawan tempatan, penggiat seni, peniaga kecil serta ekonomi setempat,” katanya kepada Media Selangor.

Abdul Hamid berkata MBDK juga terbuka menjalin kerjasama dengan pihak luar bagi mengukuhkan dan merancakkan lagi pembangunan pelancongan bandar.

Katanya usaha sebegini selaras dengan aspirasi menjadikan Klang sebuah bandar yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, malah kaya dengan nilai budaya, sejarah dan identiti masyarakatnya.

“Kita adakan kerjasama dengan pihak luar menjayakan VolunHeritage @ Jambatan Kota Klang yang berlangsung setiap minggu.

“Program ini menggabungkan warisan, seni, pelancongan, kesedaran alam sekitar dan penyertaan masyarakat dalam satu ruang yang sama,” katanya.

Awal bulan ini, Abdul Hamid berkata pembukaan laluan LRT3 Shah Alam dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan Bandar Diraja Klang.

LRT3 Laluan Shah Alam yang beroperasi mulai 29 Jun lalu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang, sekali gus meningkatkan jaringan pengangkutan awam di bahagian barat Selangor.

logo