manfaatkan saluran tepat salur aduan demi kesejahteraan komuniti

Klang : Wanita digesa tampil proaktif menyalurkan aduan dan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan bandar yang lebih inklusif serta memenuhi keperluan sebenar komuniti.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, wanita di peringkat komuniti mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap isu setempat seperti kerosakan infrastruktur, keselamatan kawasan awam dan kemudahan asas.

Katanya, input daripada perspektif wanita sangat penting dalam membantu PBT merangka dasar serta pelaksanaan pembangunan yang lebih responsif dan berkesan.

"Contohnya isu jalan berlubang, tanjakan (ramp) di tepi longkang, serta keselamatan di padang permainan atau laluan pejalan kaki. Mereka ini lazimnya menemani anak bermain di padang, jadi apabila mereka melihat dan lebih sedar, mereka boleh salurkan secara konstruktif kepada PBT.

"Dalam pentadbiran PBT, terdapat kawasan mengikut zon dan mempunyai Ahli Majlis masing-masing. Sekiranya pihak PBT mempunyai saluran komunikasi sama ada melalui WhatsApp, e-mel atau talian telefon, mereka perlu ajukan segera," kata pada Program Jualan Kitar Semula sempena sambutan Bulan Hari Wanita Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, di sini, baru-baru ini.

Anfaal turut menekankan kepentingan untuk wanita memanfaatkan saluran yang tepat bagi menyampaikan sebarang maklum balas demi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan efisien.

Sementara itu, Penaung Program Pembangunan Wanita MBDK, Datin Jamaliah memaklumkan bahawa pihak MBDK telah menyediakan taman gender inklusif di Kompleks Sukan Pandamaran.

Menurutnya, kemudahan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran rekreasi selamat, mesra dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, umur atau keupayaan sekali gus mencerminkan komitmen MBDK dalam menyokong prinsip kesaksamaan gender.

Terdahulu, Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain menyatakan bahawa agenda kelestarian bandar terus diberi keutamaan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Komuniti Mampan MBDK bagi mengimbangi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

logometro