KLANG, 5 JULAI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speedmart) menganjurkan kempen derma darah bagi mengumpul 700 beg darah untuk disumbangkan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata inisiatif itu bertujuan membantu HTAR mengekalkan bekalan darah sebanyak 3,000 beg setiap bulan, merangkumi semua jenis darah untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

MBDK, 99 Speedmart turun padang sokong kitaran bulanan 3,000 beg darah HTAR

“Usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana ia merupakan antara langkah penting dalam menyelamatkan nyawa. Penganjuran siri kedua oleh 99 Speedmart ini wajar dipuji, selepas berjaya mengumpul lebih 620 beg darah pada tahun lepas.

MBDK, 99 Speedmart turun padang sokong kitaran bulanan 3,000 beg darah HTAR

“Meskipun bekalan darah di HTAR kini berada pada tahap stabil, MBDK berpendapat kita tidak boleh terlalu selesa kerana setiap beg darah hanya bertahan selama 40 hari. Oleh itu, usaha menderma perlu dijalankan secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Derma Darah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Yong Eng Kwang, di Dewan MBDK, Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.

Sementara itu, Yong berkata sasaran mengumpul 700 beg darah dijangka dapat dicapai menjelang jam 3 petang, dengan kebanyakan penderma terdiri daripada kakitangan 99 Speedmart sekitar Klang.

MBDK, 99 Speedmart turun padang sokong kitaran bulanan 3,000 beg darah HTAR

“Setakat ini, 99 Speedmart mempunyai 25,000 kakitangan di seluruh negara, dan 8,000 daripadanya bertugas di cawangan sekitar Klang. Maka, sasaran untuk mengumpul 700 beg darah menerusi kempen ini adalah realistik.

“Kempen ini juga tidak terhad kepada kakitangan kami sahaja. Orang ramai, khususnya penduduk Klang, turut dialu-alukan untuk bersama-sama menderma darah,” katanya. – BERNAMA

 

Sumber : 

Selangorkini