Klang : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terus memperluas pengiktirafan Bandaraya Diraja Klang di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain dalam persidangan UCLG ASPAC Council, Haikou 2026 di Hainan, China. Menerusi forum utama program berkenaan, Abd Hamid membentangkan tajuk Klang Royal City: Balancing Port Growth with a Green, Smart and Inclusive Future yang mengetengahkan pendekatan pembangunan bandar secara seimbang, mampan, pintar dan inklusif. Pembentangan itu menonjolkan kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia serta peranan pentingnya dalam sektor perkapalan, logistik, pengendalian kontena dan perdagangan antarabangsa. Menurut Abd Hamid, MBDK kini berpandukan Pelan Tempatan Bandar Diraja Klang 2035 (Pindaan 1) yang mengambil kira perkembangan sektor perindustrian, termasuk kewujudan lebih 36 kawasan perindustrian sedia ada serta kawasan baharu yang sedang dibangunkan. "Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat bagi memastikan Bandaraya Diraja Klang kekal berdaya saing dan selesa didiami. "Pendekatan pembangunan yang seimbang ini penting bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati penduduk tanpa mengabaikan aspek kelestarian untuk generasi akan datang," katanya. Beliau menambah, MBDK memberi keutamaan kepada kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon, program pembersihan sungai serta penglibatan aktif komuniti. Usaha itu turut diperkukuh menerusi tadbir urus berintegriti menerusi pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS). Penyertaan dalam persidangan peringkat antarabangsa itu bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan potensi Klang kepada dunia, malah membuka ruang perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan bandar pintar dan inklusif. |