KLANG - Warga kerja Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) diingatkan supaya sentiasa peka terhadap teguran berkenaan kelewatan perkhidmatan, ketirisan sumber dan kelemahan proses dalaman bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, cabaran yang dihadapi penjawat awam itu jauh lebih kompleks, terutama selepas Klang diangkat sebagai bandar raya.

“Kita tidak menafikan kelemahan ini wujud, tetapi apa yang kurang diberi tumpuan ialah usaha memperkukuh sistem sokongan dalaman seperti aliran maklumat yang pantas, pemantapan kawalan operasi dan peningkatan latihan kepada anggota.
“Perubahan tidak berlaku dalam sehari tetapi komitmen berterusan yang disertai dengan kesediaan untuk berubah akan menjadi asas kepada perkhidmatan awam yang lebih dipercayai dan dihormati.
“Dalam masa sama, integriti perlu terus menjadi asas utama dalam setiap tindakan dan keputusan kita. Isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan walaupun kecil akan memberi kesan besar terhadap kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi MBDK 2024 di Hotel Wyndham Acmar, di sini pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, seramai 128 penjawat awam daripada pelbagai jabatan telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi 2024, selain 25 pesara yang terdiri daripada pesara wajib dan pilihan turut menerima penghargaan daripada MBDK.
Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini