Klang: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan 25 Notis Pemberitahuan dan menunda dua kenderaan buruk atau tersadai di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, setakat 2 Oktober lalu. Pegawai Penguat Kuasa MBDK Mohd Hafiz Shafiee berkata, tindakan itu diambil susulan dua aduan berkaitan kenderaan buruk atau tersadai yang diterima pihak berkuasa tempatan itu pada tahun ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan penyelarasan bersama Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) mendapati sebanyak 246 kenderaan buruk dikenal pasti di kawasan pangsapuri berkenaan. "Daripada jumlah itu, 221 kenderaan berada di kawasan hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), manakala 25 lagi di kawasan di bawah seliaan MBDK," katanya. Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk Pangsapuri Seri Perantau yang berdepan masalah kekurangan parkir akibat kenderaan tersadai dan ditinggalkan. Menurutnya, tindakan penguatkuasaan MBDK tertumpu kepada kenderaan di kawasan seliaannya, manakala pengurusan dan pengalihan kenderaan di kawasan hak milik PKNS perlu diselaraskan oleh pihak berkenaan bersama Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Perantau. Mohd Hafiz berkata, pemeriksaan turut membabitkan penelitian status hak milik tanah dan pelan kawasan bagi menentukan kedudukan kenderaan serta pihak yang bertanggungjawab menguruskannya. "Bagi kenderaan di bawah seliaan MBDK, tindakan susulan dimulakan dengan carian maklumat pemilik melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain semakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kenderaan terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kes kehilangan atau jenayah," katanya. Beliau berkata, bagi kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran, pengenalpastian perlu dibuat melalui nombor casis bagi membolehkan maklumat kenderaan dan pemilik diperoleh daripada JPJ. Katanya, tindakan pengalihan atau penyitaan boleh dipertimbangkan selepas semakan dan pengesahan maklumat selesai, berdasarkan keadaan kenderaan, hasil siasatan serta peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa. "Urusan pelupusan pula perlu mengikut prosedur ditetapkan dan mendapatkan kelulusan pihak berkaitan jika diperlukan," katanya. Mengulas kekangan dihadapi, Mohd Hafiz berkata, kesukaran mengenal pasti dan mengesan pemilik, khususnya bagi kenderaan yang lama ditinggalkan, tidak lagi digunakan atau tidak mempunyai nombor pendaftaran, antara cabaran utama dalam menangani masalah itu. Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk perlu merujuk dan menyelaraskan tindakan dengan pihak pengurusan pangsapuri terlebih dahulu bagi kenderaan yang berada di kawasan hak milik PKNS. Katanya, persatuan penduduk juga boleh membantu menyampaikan maklumat dan berkomunikasi dengan penduduk bagi memudahkan urusan pengenalpastian pemilik serta tindakan lanjut, tanpa menjejaskan bidang kuasa dan tanggungjawab pihak berkaitan. |