KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir di lapan kawasan berisiko tinggi susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 7 hingga 11 November 2026. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, antara langkah mitigasi yang dilaksanakan termasuk memastikan sistem saliran berfungsi dengan berkesan, pemasangan pintu air sehala (flap gate) serta mempertingkat pemantauan di kawasan yang dikenal pasti berisiko mengalami banjir. “Semua jabatan berkaitan perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan memastikan setiap aduan yang diterima diberikan perhatian sewajarnya serta tindakan susulan yang bersesuaian diambil, khususnya ketika keadaan cuaca yang tidak menentu. “Penduduk yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau lokasi berisiko banjir turut dinasihatkan supaya membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya limpahan air,” katanya. Menurut Abd Hamid, Mesyuarat Penyelarasan Isu Banjir bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim sebelum ini telah mengenal pasti lapan lokasi yang memerlukan perhatian khusus melalui pelaksanaan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko dan impak kejadian banjir. |
![]() |
“Kawasan yang terlibat ialah Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju dan Jalan Haji Salleh, Meru,” katanya. Beliau berkata, antara tindakan yang sedang dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem saliran, membaik pulih paip pelepasan air, menyelenggara kolam takungan air di tapak (on-site detention) serta memastikan pemaju mematuhi pelan saliran dan kawalan hakisan yang telah ditetapkan. “Skuad Pantas MBDK telah menerima sebanyak 83 aduan berkaitan bencana pada 4 dan 5 November lalu, dengan 62 kes berjaya diselesaikan sepenuhnya, 16 kes masih dalam tindakan, manakala lima kes lagi melibatkan bantuan khas,” kata Abd Hamid. “Aduan yang diterima merangkumi kejadian pokok tumbang, banjir kilat, bumbung diterbangkan angin, tiang utiliti tumbang serta tanah runtuh. “Skuad Pantas bersama-sama Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK akan terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku sebarang bencana,” katanya. Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa, selain memastikan dokumen penting serta barangan berharga disimpan di tempat yang selamat. “Penduduk juga dinasihatkan supaya mengalihkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi, mengelakkan diri daripada berada di lokasi berisiko serta menyediakan kelengkapan kecemasan sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir,” tambahnya. Sementara itu, Abd Hamid berkata, orang ramai yang mengalami kerosakan kenderaan atau harta benda akibat kejadian pokok tumbang yang berada di bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan pampasan kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan. “Pemilik yang terjejas perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan berserta dokumen sokongan yang berkaitan kepada MBDK untuk tujuan semakan dan penilaian mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. Beliau turut menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kejadian kecemasan melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan. Orang ramai boleh menghubungi Skuad Pantas MBDK di talian 03-3370 1095 untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan yang memerlukan tindakan segera. |
