thumbnail

Klang : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperketat kesiapsiagaan dan langkah mitigasi di seluruh daerah ini berikutan ancaman fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, sebanyak 83 aduan bencana diterima Skuad Pantas MBDK dalam tempoh dua hari bermula 4 hingga 5 November lalu, merangkumi insiden pokok tumbang, banjir kilat, bumbung terbang, tiang tumbang dan tanah runtuh.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 62 kes berjaya diselesaikan sepenuhnya, 16 kes masih dalam tindakan, manakala lima kes lagi membabitkan bantuan khas Skuad Pantas.

"Pihak MBDK menerusi Mesyuarat Penyelarasan Isu Banjir telah mengenal pasti pelbagai lokasi berisiko tinggi seperti Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju serta Jalan Haji Salleh di Pekan Meru.

"Bagi menangani risiko limpahan air, kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaik taraf perparitan utama, memasang 'flap gate' serta memastikan penyelenggaraan kolam takungan dibuat secara berkala," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru penduduk yang menetap di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada, mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi serta menyimpan dokumen penting di lokasi selamat.

Dalam pada itu, Abd Hamid memaklumkan bahawa pemilik harta benda atau kenderaan yang rosak dihempap pokok bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan ganti rugi kepada pihak Majlis.

"Pemilik yang terjejas perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan berserta dokumen berkaitan kepada MBDK untuk semakan dan penilaian lanjut mengikut prosedur ditetapkan," jelasnya.

logo