Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan mempergiat usaha menangani isu haiwan terbiar yang semakin meningkat dengan meningkatkan keberkesanan operasi tangkapan dan kawalan populasi. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, langkah itu akan memperkukuh usaha sedia ada dalam mengawal populasi anjing terbiar, di samping menangani kebimbangan berkaitan keselamatan awam dan kebajikan haiwan. “MBDK akan meneroka strategi yang lebih berkesan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, memperkemas penyelarasan antara pasukan penguat kuasa serta mengambil tindakan segera terhadap aduan penduduk. “Langkah ini membolehkan pihak majlis mengenal pasti kawasan bermasalah dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera. “Usaha sebegini mampu membantu mengurangkan insiden melibatkan anjing terbiar, khususnya di kawasan perumahan dan lokasi yang mempunyai pergerakan pejalan kaki yang tinggi,” katanya pada Mesyuarat Penuh MBDK di Bangunan Sultan Alam Shah, Klang, semalam. MBDK menganggarkan terdapat kira-kira 11,000 ekor anjing terbiar di daerah Klang. Abd Hamid berkata, tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan dikenakan terhadap pemilik anjing yang tidak mempunyai lesen. “Sekiranya anjing berada di dalam premis ketika operasi dijalankan, pihak majlis akan mengeluarkan kompaun dan notis kepada pemilik untuk mendaftarkan anjing berkenaan serta mendapatkan tag. “MBDK akan menyita anjing tidak berlesen yang berada di luar premis. “Pemilik boleh menuntut semula haiwan berkenaan di tempat tahanan selepas ia didaftarkan dan memperoleh tag,” katanya. Pada 29 Julai lalu, seekor anjing peliharaan tidak berlesen mati ketika operasi MBDK di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang. Insiden berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung dakwaan kekejaman terhadap haiwan. Pertuduhan jenayah telah dibuat dan dua individu, termasuk wanita yang mendakwa sebagai pemilik anjing berkenaan, didakwa atas kesalahan kekejaman terhadap haiwan di Mahkamah Sesyen Klang minggu lalu. Dalam perkembangan berasingan, Abd Hamid mengingatkan pemilik harta supaya menjelaskan bayaran cukai taksiran. “MBDK akan membantu pembayar cukai membuat semakan dan bayaran cukai taksiran. “Kempen bayaran cukai taksiran akan dilaksanakan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak pada setiap Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari. “Kaunter akan dibuka berhampiran Public Bank di Jalan Kapar pada 19 dan 20 September serta di Canary Garden, Bandar Parklands (berhampiran McDonald’s) pada 26 dan 27 September,” katanya. Abd Hamid berkata, selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan penggunaan kaunter fizikal, MBDK akan menutup sebuah kaunter bayaran di Giant Bukit Tinggi, Klang, berkuat kuasa 1 September. “Pihak majlis telah menyediakan kemudahan pembayaran dalam talian, mesin i-Kiosk dan aplikasi. “Kaunter bergerak akan disediakan di kawasan tempat letak kereta Giant Bukit Tinggi pada Januari, Februari, Julai dan Ogos,” katanya. Beliau berkata MBDK turut akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai (cashless) di ibu pejabat dan kaunter bayaran pandu lalu. Mulai 1 September, semua kaunter berkenaan tidak lagi menerima pembayaran secara tunai. |