MBDK RAIH ANUGERAH PENGIKTIRAFAN BERLIAN BANDAR RENDAH KARBON 2025 02

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) meraih Anugerah Pengiktirafan Berlian (Diamond) Bandar Rendah Karbon 2025 bagi lima bangunan di bawah pentadbirannya pada 12 Februari lalu.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata lima bangunan tersebut ialah Bangunan Sultan Alam Shah, Ibu Pejabat MBDK, Bangunan Pejabat Jabatan Penguatkuasa, Bangunan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Persekitaran serta Pejabat Cawangan MBDK di Jalan Tengku Kelana dan Jalan Raya Barat.

“MBDK turut menerima Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan Paling Aktif dalam cabaran itu,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBDK di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 27 rakan strategik MBDK turut menerima pengiktirafan sama, termasuk Northport Malaysia Berhad, Lembaga Pelabuhan Klang dan 18 sekolah awam.

Turut menerima anugerah ialah dua sekolah swasta, tiga bangunan industri, sebuah pusat perniagaan, sebuah hospital swasta dan sebuah masjid.

Program Cabaran 2030 Bandar Rendah Karbon dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sejak 23 Julai 2019.