
Klang : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama strategik Rotary Club of Klang Central menyuntik nafas baharu kepada estetika persekitaran bandar menerusi perasmian 'Rotary Roundabout' di Bandar Bukit Tinggi, di sini.
Inisiatif pengindahan bulatan bertema itu dilaksanakan bertujuan menaik taraf landskap persekitaran agar menjadi lebih kondusif, ceria, bersih dan tersusun demi kesejahteraan komuniti setempat.
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz, pihak berkuasa tempatan (PBT) merakamkan penghargaan tertinggi kepada pihak Rotary Club atas komitmen jitu dalam merealisasikan projek komuniti mampan.
"Kewujudan Rotary Roundabout ini adalah simbolik kepada kebersamaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak seiring dengan tadbir urus PBT.
"Pelaksanaan projek landskap berkonsepkan keceriaan ini bukan sahaja memperindahkan infrastruktur sedia ada, malah memberi nilai tambah yang signifikan kepada imej visual Klang sebagai sebuah bandar raya warisan," kata Norfiza berkata ketika hadir mewakili Datuk Bandar MBDK bagi menyempurnakan majlis perasmian berkenaan, di sini.
Majlis turut dihadiri tetamu kehormat antaranya Perwakilan Presiden Rotary International & Pengerusi Yayasan Rotary International, Holger Knaack; Gabenor Daerah Rotary International District 3300 Malaysia, Edward Khoo; Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Shanmugam Mookan; Presiden Kelab Rotary Klang, Mahendran Marimuthu serta Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner, Lim Jit Huey.
Mengulas lanjut, Norfiza memaklumkan sumbangan dana, masa, dan tenaga daripada pelbagai pihak luar dalam menjayakan projek berkenaan berjaya menterjemahkan moto agung pertubuhan itu iaitu "Service Above Self" (Berkhidmat Melebihi Diri Sendiri) ke dalam bentuk transformasi sosial berimpak tinggi.
"MBDK amat menyokong usaha murni ini dalam memupuk semangat perpaduan serta memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara sektor awam, swasta dan penduduk.
"Kami berharap mercu tanda baharu ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak jalinan kerjasama strategik pada masa hadapan demi memacu agenda pembangunan komuniti yang inklusif serta pemeliharaan alam sekitar yang mampan di seluruh daerah Klang," ujarnya.
Sinergi padu antara agensi penguatkuasa, NGO, dan komuniti ini membuktikan bahawa pelihara alam sekitar dan keindahan bandar raya mampu dicapai dengan lebih efektif menerusi kerjasama kelompok.
