KLANG – Lima premis industri termasuk bengkel membaiki kenderaan berat dan gudang penyimpanan barang di kawasan Jalan Tengah Telok Gong dan Lebuhraya Pulau Indah diserbu dalam satu operasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan itu mendapati hanya satu daripada lima premis terbabit memiliki lesen sah iaitu Lesen Industri 2025, manakala empat lagi beroperasi tanpa sebarang kebenaran.

Menurut kenyataan MBDK, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta Hotel.
“Daripada jumlah itu, lapan kompaun dikeluarkan di bawah UUK 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
“Satu kompaun dikenakan di bawah UUK 17 undang-undang kecil sama, manakala satu lagi di bawah UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Perbandaran Klang) 2013,” kata kenyataan itu.
MBDK turut mengingatkan semua pemilik premis supaya memastikan operasi mereka mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan peraturan dipatuhi serta tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini