image 01

Jika berbicara berkaitan Klang, Selangor, pasti ramai membayangkan bandar diraja yang kaya dengan sejarah, kepelbagaian budaya serta terkenal sebagai syurga makanan.

Namun, di sebalik segala tarikan itu, terdapat sebuah mercu tanda yang sekian lama tenggelam daripada radar pelancongan iaitu Jambatan Kota Klang.

Selama bertahun-tahun, jambatan bersejarah yang merentangi Sungai Klang itu hanya dikenali sebagai laluan penghubung penting bagi penduduk setempat.

Walaupun mempunyai nilai seni bina dan sejarah yang cukup bermakna dalam pembangunan bandar Klang, kewujudannya lebih dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur harian berbanding sebuah destinasi warisan yang mampu menarik kunjungan pelancong.

Keadaan itu bagaimanapun mula berubah apabila VolunHeritage @ Jambatan Kota Klang diperkenalkan menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Inisiatif pelancongan budaya berasaskan komuniti itu membuktikan bahawa ruang warisan boleh diberikan nafas baharu melalui pembabitan masyarakat tanpa memerlukan pembangunan fizikal secara besar-besaran.

Menurut Pengasas 2705 Events dan VolunHeritage, Shaiful Azli Muhamad Surol, pada awalnya, ia sekadar sebuah projek percubaan, namun kini berkembang menjadi program mingguan yang berlangsung setiap petang Sabtu hingga tengah malam.

image 02

Dalam tempoh beberapa jam itu, Jambatan Kota Klang bertukar wajah menjadi koridor budaya yang menggabungkan warisan, seni, pelancongan, kesedaran alam sekitar dan penyertaan masyarakat dalam satu ruang yang sama.

Namun, perjalanan menghidupkan semula jambatan itu bukan sesuatu yang mudah.

Kata Shaiful Azli, cabaran terbesar ialah mengubah persepsi masyarakat yang selama ini menganggap jambatan itu hanya berfungsi sebagai laluan kenderaan dan pejalan kaki, bukannya sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah dan budaya.

"Seperti banyak kawasan warisan di bandar lain, Jambatan Kota Klang turut berdepan cabaran untuk terus relevan dalam era pembangunan moden apabila pelbagai tarikan komersial baharu semakin mendapat perhatian berbanding lokasi bersejarah.

"Berlandaskan persoalan bagaimana sebuah jambatan yang semakin dilupakan boleh diubah menjadi destinasi pelancongan yang bermakna tanpa menjejaskan keaslian warisannya, VolunHeritage memilih pendekatan berbeza.

"Tumpuan diberikan kepada konsep 'placemaking', kesukarelawanan dan pelancongan bertanggungjawab dengan menghidupkan ruang itu melalui pembabitan komuniti," katanya.

Dalam pada itu, tanpa melakukan perubahan fizikal yang besar, konsep Seni Atas Jambatan diperkenalkan sebagai platform menghimpunkan artis tempatan, penggiat seni budaya, artisan, pelajar, usahawan dan penduduk setempat untuk bersama-sama mencorakkan identiti ruang awam itu setiap minggu.

Hasilnya, Jambatan Kota Klang kini berfungsi sebagai pentas budaya terbuka yang sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti.

Pengunjung berpeluang menikmati pameran seni yang sentiasa berubah, sesi lakaran dan karikatur secara langsung, persembahan kebudayaan tradisional, pameran fotografi, pasar artisan, persembahan penceritaan serta pelbagai aktiviti interaktif bersama komuniti.

Keistimewaan pengalaman yang ditawarkan bukan sekadar terletak pada aktiviti yang dipersembahkan, sebaliknya setiap pengisian menjadi gambaran kepada identiti Klang yang sentiasa berkembang.

Pendekatan itu turut mengubah cara pelancongan dinikmati, pengunjung tidak lagi sekadar datang untuk melihat atau mengambil gambar, sebaliknya berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penggiat seni tempatan, mendengar kisah kehidupan masyarakat, menyertai aktiviti secara praktikal dan menghayati warisan melalui hubungan sesama manusia.

Pengalaman sedemikian mewujudkan hubungan emosi yang lebih mendalam antara pengunjung dengan sesuatu tempat, sekali gus menjadi antara elemen penting dalam pembangunan pelancongan mampan.

Daripada sudut sosial, setiap Sabtu menyaksikan jambatan itu berubah menjadi ruang awam yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia, artis, pencinta warisan, jurugambar, pelajar dan pelancong.

Mereka yang sebelum ini mungkin tidak pernah mengenali antara satu sama lain kini berkongsi ruang yang sama melalui aktiviti kreatif dan pengalaman bersama.

Secara tidak langsung, keadaan itu memperkukuhkan perpaduan sosial selain menyemai semula rasa tanggungjawab masyarakat terhadap pemeliharaan ruang warisan awam.

image 03

Program itu turut memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat apabila usahawan mikro, peniaga makanan, artisan dan pemilik perniagaan kecil diberikan peluang memasarkan produk mereka secara terus kepada pengunjung dalam persekitaran yang menerima kehadiran orang ramai tanpa perlu bergantung kepada premis komersial.

Model yang bersifat inklusif itu membolehkan pelancongan budaya berkembang sebagai penjana pendapatan masyarakat akar umbi sambil mengekalkan keaslian dan integriti budaya tempatan.

Pada masa sama, VolunHeritage memainkan peranan penting dalam usaha pendidikan dan pemeliharaan warisan.

Melalui penceritaan berpandu, pameran sejarah, demonstrasi kraftangan tradisional dan persembahan budaya, generasi muda diperkenalkan kepada warisan budaya tidak ketara yang menjadi identiti Klang sejak sekian lama.

Kini, Jambatan Kota Klang bukan lagi sekadar laluan menyeberangi sungai, sebaliknya menjadi bilik darjah terbuka yang membolehkan sejarah dipelajari melalui pengalaman sebenar.

Infrastruktur awam yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai laluan kini berjaya diangkat sebagai sebuah destinasi budaya yang mempunyai identitinya sendiri.

Ia bukan lagi sekadar tempat orang ramai melintas, sebaliknya menjadi lokasi untuk berkumpul, berinteraksi dan kembali dikunjungi kerana pengalaman yang ditawarkan.

Apa yang pasti, setiap hujung minggu, jambatan ini akan terus mencipta kisah baharu, bukan sekadar mengimbau sejarah silam Klang, tetapi turut melakar masa depan yang menyaksikan warisan terus dihidupkan dan komuniti diperkasakan.

logo