KLANG: Motif bunga melur yang dihiasi corak songket tradisional Melayu kini menghiasi tiang-tiang di bawah Jambatan Simpang Lima, Klang, Selangor, sekali gus mengubah laluan harian pengguna jalan raya menjadi ruang seni terbuka yang menarik.
Karya seni di Bulatan Simpang Lima itu dihasilkan sebagai sebahagian daripada usaha pengindahan laluan protokol sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menaiki takhta sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 22 November 2001.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, kerja-kerja pengindahan bernilai RM85,000 itu mencerminkan keharmonian antara keindahan alam semula jadi dengan warisan diraja.
“Mural bunga melur yang merupakan bunga rasmi Bandaraya Klang, digabungkan dengan corak songket, telah memberikan nafas baharu kepada landskap bandar,” katanya.
Bulatan berkenaan mempunyai hubungan terus ke Jalan Istana, iaitu laluan istiadat yang digunakan oleh kerabat diraja, utusan asing dan tetamu kenamaan untuk perjalanan pergi dan balik ke Istana Alam Shah.
“Bunga melur dipilih kerana melambangkan kesucian, keanggunan dan warisan yang berakar umbi dalam budaya Melayu.
“Keindahan kelopak bunga melur berwarna putih yang menyerlah berlatarbelakangkan tenunan songket tradisional mewujudkan keharmonian visual yang seiring dengan suasana penuh kemuliaan dan keagungan istana diraja,” katanya.
Abd. Hamid berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada projek pengindahan yang lebih menyeluruh oleh Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Projek itu turut merangkumi kerja-kerja landskap lembut di sekitar bangunan lama era sebelum perang di sepanjang Jalan Raya Barat yang berada dalam keadaan uzur, selain kerja-kerja pembersihan sebuah rumah kayu lama berhampiran bulatan berkenaan bagi menceriakan kawasan tersebut.
“Kami mahu memperkenalkan elemen seni berinspirasikan tumbuh-tumbuhan pada struktur konkrit infrastruktur jalan raya bagi melembutkan imej pembangunan moden, sekali gus menggantikan pemandangan konkrit yang suram dengan keindahan flora tempatan,” katanya.
Sementara itu, Kurator MBDK, Faisal Surani menyambut baik transformasi berkenaan yang disifatkan mampu menyemai rasa bangga dan semangat cintakan bandar dalam kalangan masyarakat.
“Motif bunga melur ini menjadi simbol yang sederhana tetapi penuh bermakna dalam mengetengahkan tradisi Melayu, sekali gus menghubungkan sejarah kegemilangan Klang dengan usaha pembaharuan landskap bandar masa kini,” katanya.
Menurut Faisal, Simpang Lima dan Jalan Istana kini bukan lagi sekadar laluan perhubungan biasa.
“Melalui keindahan abadi bunga melur yang diabadikan dalam karya mural ini, laluan berkenaan kini berubah menjadi sebuah lokasi yang bukan sahaja menarik perhatian, malah wajar disinggahi seketika untuk menghayati keindahan seninya,” katanya.