KLANG: Satu pasukan petugas khas melibatkan pelbagai agensi yang diketuai oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah ditubuhkan bagi membanteras kegiatan pembuangan sisa pembinaan secara haram di sekitar bandar raya ini. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, semakin ramai kontraktor tidak bertanggungjawab dan pihak yang menjalankan kegiatan secara tersembunyi dikesan menjadikan tanah kosong di kawasan pinggir bandar serta kawasan luar bandar berhampiran sungai sebagai tapak pelupusan sampah haram. Pasukan petugas khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil Tapak Pelupusan Sampah Haram Daerah Klang itu dianggotai oleh jabatan-jabatan di bawah MBDK serta beberapa agensi utama kerajaan negeri dan Persekutuan. Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ketika ini, sebanyak 21 lokasi pembuangan sampah haram yang masih aktif telah dikenal pasti di sekitar Meru, Johan Setia dan Pelabuhan Klang. “Aktiviti pembuangan sampah secara haram ini bukan sahaja mencemarkan landskap bandar raya diraja, malah turut mendatangkan ancaman serius terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan sistem saliran. “Sisa buangan yang menyumbat laluan air turut meningkatkan risiko kejadian banjir kilat di seluruh daerah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif bersama delegasi seramai 16 orang. Abd Hamid turut menjelaskan bahawa MBDK berhasrat untuk mengatasi isu pertindihan bidang kuasa antara agensi yang sebelum ini menjadi kekangan dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan. “Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK akan menerajui usaha ini dengan menyelaraskan kuasa penguatkuasaan pelbagai agensi yang terlibat. “Kerjasama strategik ini akan memastikan perkongsian maklumat risikan, pemantauan lokasi serta operasi serbuan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, pantas dan berkesan,” katanya. Menurut beliau, MBDK mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap pesalah dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan, termasuk denda yang tinggi, kewajipan menanggung kos pembersihan serta penyitaan kenderaan yang terlibat. “Pemaju dan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian rumah diingatkan supaya mematuhi tanggungjawab di sisi undang-undang dengan melupuskan sisa pembinaan di tapak pelupusan yang ditetapkan dan mempunyai lesen sah,” katanya. Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan, Ahmad Suhaimi Mohamad Zamri berkata, pihaknya akan menyelaraskan kerjasama dengan semua agensi terlibat bagi membanteras kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan rizab jalan sekitar Klang, Pandamaran, Bukit Kemuning, Meru dan Kapar. “Kami akan menempatkan satu pasukan yang terdiri daripada enam anggota di setiap lokasi bagi menjalankan pemantauan dan tindakan berkaitan,” katanya. Dalam pada itu, Juruteknik Bahagian Teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang, Khairul Faizal Khairi berkata, pihaknya mempunyai sebanyak 51 pintu air di sepanjang sungai di daerah berkenaan. “Kami mempunyai 51 pintu air di sepanjang sungai, namun sekurang-kurangnya lima anggota akan ditugaskan untuk memantau kawasan rizab sungai di 10 lokasi yang dikenal pasti sering menjadi tempat pembuangan sisa pengubahsuaian oleh kontraktor tidak bertanggungjawab,” katanya. Jurucakap Pejabat Daerah dan Tanah Klang pula berkata, inisiatif bersepadu tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memelihara kawasan awam serta melindungi ekosistem setempat daripada ancaman pencemaran akibat pembuangan sampah secara haram. |