Amirudin bersama barisan pegawai perhubungan awam serta unit komunikasi korporat GLC, jabatan, agensi serta PBT negeri Selangor. - Foto NSTP/RUWAIDA MD ZAIN |
KEPALA BATAS: Semua pegawai perhubungan awam serta unit komunikasi korporat bagi anak syarikat kerajaan negeri (GLC), jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu lebih proaktif, responsif, kreatif dalam memberikan maklum balas dan menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata dalam usaha mengkoordinasikan sistem komunikasi di negeri ini, kumpulan itu perlu sedar perubahan dalam komunikasi, sosial media dan sebagainya. "Sekarang, kadang-kadang banyak berita-berita (tidak sahih dan berunsur negatif) ini digerakkan awal menerusi hantaran di sosial media dan sebagainya. "Jadi, mereka (pegawai perhubungan awam) kena sedar mengenai situasi yang berubah itu, bukan memusuhi, sebaliknya bagaimana beradaptasi dengan perubahan yang dibuat. "Itu mesej saya, tetapi yang pentingnya macam mana mereka dapat merancang satu komunikasi yang berkesan dalam mengetengahkan dasar-dasar dan juga pandangan negeri," katanya. Beliau berkata demikian pada program Pemukiman dan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam dan Media Selangor 2025, di sebuah pusat peranginan, di sini hari ini. Dalam program tiga hari dua malam itu, lebih 60 peserta mewakili jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri masing-masing termasuk agensi media seperti Berita Harian, Bernama, Utusan Malaysia, Media Selangor dan RTM. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. Amirudin berkata, program itu adalah julung kali rakan media dilibatkan dalam program pemukiman bagi mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua pihak dalam melancarkan penyampaian maklumat kepada rakyat. "Sudah tentu perlu ada hubungan yang baik dengan agensi media dengan pegawai perhubungan awam dan unit komunikasi korporat. "Walaupun sosial media sudah menawan dunia komunikasi, tetapi media arus perdana masih lagi memainkan peranan sebagai sumber yang boleh dirujuk. "Maknanya, keseimbangan dalam kalangan media untuk melaporkan berita itu akan lebih baik apabila mempunyai hubungan baik dengan agensi, PBT, jabatan dan anak syarikat," katanya. |