image 02

KLANG: Menjelang sambutan ulang tahun ke-125 Kelab Diraja Klang (Royal Klang Club - RKC), kawasan persekitaran bangunan bersejarah kelab itu sedang menjalani kerja-kerja pengindahan sebagai persediaan menyambut keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selaku Penaung Diraja kelab berkenaan.

Baginda dijangka berangkat bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain, berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sedang melaksanakan beberapa kerja penambahbaikan, termasuk memperindah landskap lembut, menurap semula laluan masuk utama ke Kelab Diraja Klang serta memasang lampu landskap di sepanjang Jalan Istana.

Awal bulan ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Kelab Diraja Klang, Kenny Lee, bagi membincangkan persiapan sempena keberangkatan baginda pada 29 Ogos.

Majlis berkenaan akan menjadi pembuka tirai kepada sambutan ulang tahun ke-125 kelab yang bertemakan "Embracing the New Horizon".

Menurut Abd Hamid, inisiatif pengindahan itu merangkumi kerja-kerja landskap seperti penanaman pokok hiasan, pokok renek berbunga, penyelenggaraan kawasan hijau serta pemasangan elemen landskap dekoratif.

"Jabatan Landskap dan Rekreasi MBDK turut akan meminjamkan beberapa pasu tanaman berdaun yang dilengkapi pencahayaan bagi menghiasi pintu masuk utama kelab," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kejuruteraan MBDK turut akan menjalankan pemeriksaan semula terhadap sistem lampu jalan di sepanjang Jalan Istana bagi memastikan tahap pencahayaan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan kemudahan kepada pengguna jalan raya serta pejalan kaki.

"Peningkatan pencahayaan ini dijangka dapat melancarkan aliran trafik memandangkan jumlah kenderaan yang tinggi dijangka memasuki kawasan tersebut sepanjang majlis berlangsung.

"Selain memenuhi keperluan sempena keberangkatan baginda, penambahbaikan infrastruktur dan landskap ini juga akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk, pelancong serta ahli kelab, di samping mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, indah dan kondusif," katanya.

Sementara itu, Kenny Lee menzahirkan penghargaan kepada MBDK atas usaha memperindah kawasan sekitar premis kelab.

Beliau berkata, pelbagai program telah dirancang bagi meraikan ulang tahun ke-125 penubuhan kelab tersebut.

"Antara program yang akan diadakan ialah kejohanan antara kelab selama dua hujung minggu pada bulan September, Hari Keluarga dan Fun Walk pada 6 September, serta Majlis Makan Malam Gala pada 10 Oktober," katanya.

Turut hadir mengiringi Datuk Bandar Klang ialah Timbalan Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi MBDK, Azzura Zainal, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Mohd Zaidi Zainal, serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran, Zaireezal Ahmad Zainuddin.

logo