![]() |
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain pada sidang media berhubung persiapan istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Diraja Klang di Majlis Bandaraya Diraja Klang |
KLANG: Lebih 2,000 rakyat dijangka menyaksikan perarakan sempena istiadat pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja yang terletak di Istana Alam Shah, di sini, Khamis ini. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, selain rakyat Selangor khususnya kawasan Klang, semua sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor dijangka menghantar 100 wakil PBT masing- masing untuk bersama-sama menyaksikan perarakan berkenaan. "MBDK mengalu-alukan seluruh rakyat khususnya dari kawasan berhampiran Istana Alam Shah untuk hadir. Kitta jangka 2,000 orang akan hadir dan akan berbaris sepanjang 1.2 kilometer daripada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga pintu masuk Istana Alam Shah. "Sebagai persediaan juga, MBDK membekalkan 2,000 unit bendera Selangor kepada orang ramai untuk melambaikan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ketika perarakan itu. "Sebagai makluman, jalan sepanjang Galeri Diraja hingga pintu istana akan ditutup selewat-lewatnya jam 8 pagi dengan perarakan istiadat itu bermula jam 9 pagi," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Bil. 2/2025 di Dewan Raja Mahadi, MBDK di sini semalam. Oleh itu, katanya, kemudahan parkir disediakan di Stadium Sultan Suleiman dan parkir bertingkat berhampiran Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Klang. "Orang ramai juga digalakkan berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan tren KTM bagi mengelak kesesakan selain datang lebih awal. "Bagi aspek keselamatan pula, saya difahamkan seramai 400 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas pada jarak 50 meter antara satu sama lain," katanya. Pada masa sama, Abd Hamid berkata, kerja pengindahan dan penyelenggaraan sempena istiadat pernikahan Diraja itu 100 peratus siap. "Ini termasuk pemasangan bendera negeri Selangor bermula dari Lebuhraya Persekutuan sehingga Istana Alam Shah, hiasan lampu jalan dan landskap khas dari Galeri Diraja, pintu istana dan Bulatan Simpang Lima. "Bagi persiapan perarakan istiadat itu, MBDK berbelanja lebih RM3 juta untuk kerja penurapan dan penaiktarafan jalan, lampu hiasan jalan, landskap dan pemasangan skrin diod paparan cahaya (LED) bagi orang ramai menyaksikan perarakan itu," katanya. Raja Muda Selangor akan melangsungkan pernikahan dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Khamis ini. Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober ini. |
Sumber: |