imej

KLANG: Seramai tujuh pengusaha premis perniagaan di Taman Kota Pendamar, Pelabuhan Klang, Selangor, dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kerana gagal menyediakan tong sampah yang diwajibkan di hadapan premis masing-masing.

Tindakan tegas itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MBDK untuk memperkukuh tahap kebersihan di kawasan komersial serta memastikan setiap pengusaha premis perniagaan mematuhi peraturan kebersihan yang telah ditetapkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, operasi penguatkuasaan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan pihak berkuasa tempatan itu bagi menangani masalah pembuangan sampah secara haram dan pembuangan sampah merata-rata di kawasan perniagaan.

“Di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBDK 2007, setiap pemilik premis perniagaan di Jalan Permai diwajibkan menyediakan tong sampah yang bersesuaian di luar premis masing-masing bagi memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara, sekali gus mencegah penularan penyakit bawaan vektor,” katanya.

Zaireezal turut mengingatkan semua peniaga di seluruh kawasan pentadbiran MBDK supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan kebersihan yang sedang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan bahawa pemeriksaan mengejut akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di sekitar Pelabuhan Klang dan kawasan lain bagi memastikan tahap pematuhan yang menyeluruh dalam kalangan pengusaha perniagaan.

Pada September lalu, anggota penguat kuasa MBDK telah menjalankan pemeriksaan terhadap 43 premis perniagaan di Taman Kota Pendamar.

Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan di Jalan Kebun Baru, Jalan Klang Perdana dan Kampung Perepat pula, sebanyak enam premis perniagaan didapati dikendalikan oleh warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis-premis berkenaan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan, termasuk kedai serbaneka, salun rambut, kedai runcit yang menjual ayam serta premis penyediaan makanan, beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah daripada Jabatan Pelesenan MBDK,” katanya.

Menurut Zaireezal, siasatan turut mendapati kesemua premis berkenaan diurus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pekerja warga asing.

“Sehubungan dengan itu, tindakan penyitaan serta-merta telah dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang terlibat.

“MBDK memandang serius sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan tanpa lesen sah, khususnya yang melibatkan pengendalian perniagaan oleh warga asing,” tegasnya.

logo