Lebih 650 peserta berhimpun di Klang bagi menyertai program plogging, iaitu aktiviti yang menggabungkan senaman berjalan kaki sambil mengutip sampah sebagai usaha memupuk kesedaran komuniti terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Program yang berlangsung serentak di Taman Rama-Rama, Bukit Tinggi 2 di Persiaran Batu Nilam 1 dan Padang MBDK, Jalan Selampit 29, Klang Jaya itu menyaksikan penyertaan aktif penduduk setempat dalam memastikan kawasan kejiranan kekal bersih dan bebas daripada sampah. Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Tzu Chi Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Persatuan Penduduk Bandar Botanic, Persatuan Penduduk Bandar Bukit Tinggi serta Pejabat Ahli Dewan Negeri Sentosa. Aktiviti plogging yang dilaksanakan melibatkan peserta berjalan sambil mengutip sampah di sekitar kawasan kejiranan, sekali gus membantu membersihkan persekitaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal. Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain, berkata menerusi penglibatan komuniti, program kesedaran dan aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan secara berterusan, Yayasan Tzu Chi berjaya menjadikan amalan kitar semula dan pengurangan sisa sebagai budaya harian dalam kalangan ribuan penduduk. Beliau yang merasmikan program tersebut berkata, penglibatan aktif Yayasan Tzu Chi dalam penganjuran aktiviti plogging mampu menyemai kesedaran alam sekitar serta memupuk rasa tanggungjawab sivik dalam kalangan masyarakat. "Komitmen setiap individu yang terlibat telah memberi sumbangan besar dalam mewujudkan Bandar Diraja Klang yang lebih bersih, sihat dan lestari," katanya ketika berucap di Taman Rama-Rama. Sementara itu, penganjur program, Ei Chai Seng, 55, berkata program 'Go Plogging, Go Green' dianjurkan bagi menyokong usaha MBDK dalam aspek pembersihan bandar dan pengurusan sisa, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih bersih dan mesra alam. Seorang penduduk, Nicole Sih Teng, 40, berkata program plogging telah memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mengamalkan gaya hidup sihat, selain memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam memastikan kawasan kejiranan sentiasa bersih. Pelajar SMJK Chung Hwa, Jade Ding, 13, pula berkata beliau gembira dapat menyertai program tersebut kerana dapat menyumbang kepada usaha menjaga kebersihan persekitaran. Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa, G. Gunaraj, berkata usaha memastikan Klang sentiasa bersih tidak boleh digalas oleh pihak berkuasa tempatan semata-mata. "Sebaliknya, kerjasama daripada penduduk, kumpulan komuniti, sektor perniagaan dan pertubuhan masyarakat amat diperlukan bagi menjayakan agenda kebersihan bandar. "Sambutan menggalakkan terhadap program seperti ini membuktikan semakin ramai masyarakat bersedia memainkan peranan dalam membawa perubahan positif. "Setiap tindakan kecil yang dilakukan secara bersama mampu memberi impak besar dalam memastikan Klang terus menjadi sebuah bandar yang bersih, hijau dan selesa untuk didiami," katanya. |