KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM68 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan Bandar Sentosa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk menaik taraf sistem perparitan termasuk longkang-longkang utama yang dikenal pasti sebagai punca utama aliran air tersekat.

“Memang banyak kerja telah dirancang oleh pihak majlis. Saya yakin selepas projek-projek pembinaan dan naik taraf dilaksanakan, ia dapat membantu mengurangkan masalah banjir yang berlaku.
“Walaupun mungkin tidak dapat menyelesaikannya sepenuhnya, saya percaya ia akan menyelesaikan sebahagian besar masalah yang ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Clean & Green Season 6 di Jalan Dato Dagang 23, Bandar Sentosa di sini pada Ahad.
Turut hadir, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Menurut Dr Gunaraj, antara punca utama banjir kilat di kawasan itu adalah masalah pembuangan sampah, namun beliau memaklumkan isu tersebut kini semakin berkurangan hasil tindakan berterusan pihak berkuasa dan peningkatan kesedaran masyarakat.
“Minggu lalu, saya telah mengadakan satu perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta MBDK untuk meneliti punca sebenar. Kami dapati masalah di beberapa persimpangan utama berlaku apabila air tidak dapat mengalir keluar dengan cepat disebabkan struktur longkang yang sempit atau tersumbat,” katanya.
Beliau menambah, pihak JPS juga mempunyai perancangan tersendiri dan sedang menunggu peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri serta kerajaan pusat bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf diteruskan.