sidang dun selangor berjalan seperti biasa 20 april depan - amirudin

SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan bermula 20 April ini akan berlangsung seperti biasa tanpa sebarang penangguhan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat memandangkan tiada halangan termasuk aspek kesihatan yang boleh menjejaskan perjalanan sidang berkenaan.

Menurutnya, persidangan itu juga penting sebagai platform untuk kerajaan negeri menjelaskan langkah yang diambil dalam menangani isu semasa.

"Ini juga penting untuk kita menjelaskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan di peringkat negeri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Taat Setia Madani di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, berdasarkan semakan awal, banyak soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan langkah kerajaan dalam menghadapi cabaran semasa berikutan konflik geopolitik di Asia Barat.

Katanya, perkara itu menunjukkan keperluan untuk kerajaan memberi penjelasan secara menyeluruh dalam sidang berkenaan.

"Saya sudah lihat semalam (soalan sidang DUN) yang bertanyakan apakah langkah-langkah kerajaan menangani situasi semasa," tambah beliau.

logosinarharian